Posted on 2:42 PM
Tengku Iman Umairah gadis yang jarang sekali menggunakan ‘Tengku’ di pangkal namanya berkahwin atas dasar kehendak datuk angkatnya yang juga datuk Aiman Danish suami kontraknya. Berkahwin menjadi tiket kepada Iman untuk menyambung pelajarannya di luar negara. Dibenci oleh ibu bapa mentua dan suaminya sendiri atas alasan perempuan kampung dan tidak berharta. Tetapi kebencian itu mulai surut selepas kematian datuk dan abang iparnya yang terlibat dalam kemalangan yang turut mencederakan Dato’ Arif bapa mentuanya.
Empat tahun hidup seperti gadis bujang tidak sedikit pun membuatkan Iman terfikir akan perpisahan. Walaupun Iman dan Danish lebih banyak membawa diri masing-masing, tetapi jiwa mereka seperti disatukan dari jauh. Rasa rindu,marah,geram,sayang bercampur aduk setiap masa. Apabila Iman disapa mesra lelaki lain,Danish melenting. Iman pula apabila Danish bermesraan dengan Maya,si gedik yang menyesakkan ,dia akan berjauh hati. Masing-masing saling menyintai tetapi ego lebih mengatasi.
Terlalu banyak peristiwa yang membuatkan cinta dalam diam mereka kembali menjadi satu. Dato’ Arif,Datin Hajar, Tengku Farid, Arissa menjadi tulang belakang cinta mereka. Saat cinta bukan milik mereka,jodoh mengikat mereka. Kala hati berirama cinta,jodoh seolah bukan lagi milik mereka. Jodoh atau cinta? Yang mana hak mereka?
Posted on 2:38 PM
Bab 1
IMAN UMAIRAH menatap sepi inai di jarinya. Dia akan dinikahkan sebentar lagi dan akan bergelar seorang isteri pada Aiman Danish, seorang lelaki yang langsung tidak dia kenali. Adakah kehidupannya nanti persis novel yang selama ini menjadi bahan hiburannya? Adakah kisah-kisah indah di dalam novel itu akan terjadi padanya? Walaupun apa terjadi, ini memang menjadi takdirnya. Sebuah ceritera yang terukir dalam hidupnya.
Semalam, inilah syarat datuk menghantarnya menyambung pelajaran di luar negara. Dia boleh menyambung pelajaran dan mengejar segala cita-cita dengan syarat, sebelum berangkat dia perlu bernikah dengan Aiman Danish, cucu lelaki tunggal Tuan Haji Aman, datuk angkatnya. Kenapa itu syaratnya? Iman Umairah sendiri tidak pasti.
Kalaulah dia seperti gadis lain yang mengahwini kekasih hati, pasti hari ini adalah hari yang paling bahagia dan bersejarah baginya sebagai seorang gadis yang bakal menamatkan kehidupan bujang. Gembirakah dia? Bahagiakah dia menamatkan kehidupan bujangnya pada saat dia baru ingin menikmati waktu remaja?
Iman sendiri tidak ada jawapan untuk soalan itu. Hanya yang pasti tiada sedetik pun perasaan gembira mahupun bahagia itu hadir dalam dirinya. Apatah lagi dia tahu hadirnya nanti di dalam hidup keluarga barunya, tidak akan diterima oleh mentua dan bakal suaminya sendiri. Dia bukan pekak. Dia sendiri terdengar ‘perbincangan’ antara anak-beranak itu seminggu yang lalu. Nasib baik dia balik dari bermain tenis agak awal daripada biasa dan dia terdengar perkahwinannya dibincangkan di dalam bilik bacaan ketika itu. Mungkin itu kebesaran llahi ingin menunjukkannya jalan kesabaran untuk dugaan yang bakal dilaluinya. Mungkin juga itu tandanya dia perlu bersedia dan lebih bersabar. Iman terkenang lagi apa yang didengarinya. Masih terngiang-ngiang di telinganya dan pasti tidak akan dilupakan untuk selama-lamanya.
"ABAH tak kira Arif, abah nak Danish kahwin dengan Iman sebelum Iman ke Liverpool seminggu lagi. Abah nak kamu uruskan segala-galanya."
Terdengar suara datuk bergema tinggi. Masakan Iman tidak kenal suara insan yang selama ini berjasa membesar dan mendidiknya.
"Abah, kenapa Iman? Dia tak layak jadi menantu keluarga kita. Danish takkan terima dan saya pun tak mungkin terima. Keluarga kita ada kedudukkan. Nanti apa pula kata orang. Kalau pun abah nak balas budi mak bapak budak tu, semuanya dah terbalas, abah. Selama beberapa tahun ni, abah yang jaga dia. Bagi makan, bagi sekolah. Apa lagi tak cukup kat budak tu? Memang dah jadi keturunan budak tu agaknya. Dasar perempuan pengikis. Abah tak sedar lagi ke? Tunggu semua harta abah ni dikikisnya baru abah nak sedar."
Iman kenal suara itu. Itu suara anak tunggal datuk yang kini bergelar Dato’ Arif. Lelaki itu tidak pernah suka akan kehadirannya. ‘Perempuan pengikis’ itu dia. Sekelip mata sahaja dia sudah mendapat gelaran itu daripada Dato’ Arif. Selama ini pernahkah dia mengikis harta Tuan Haji Aman? Tetapi....
Mungkin betul kata Dato’ Arif, sejak lima tahun kebelakangan ini Iman terlalu banyak termakan budi Tuan Haji Aman. Tuan Haji Aman yang mengambil dia menjadi cucu angkat setelah ibunya meninggal dunia. Tuan Haji Aman yang menyekolahkannya. Tuan Haji Aman yang sentiasa ada untuk mendidiknya. Lelaki yang dipanggil datuk itulah yang selalu ada untuk menyokong dan memahaminya. Tidak pernah sedikit pun Iman Umairah rasa tersisih di dalam hidup datuknya. Memang selama ini, sejak sebelum pemergian ibunya lagi, semua yang ada padanya sekarang atas ihsan daripada Tuan Haji Aman. Lelaki itu yang memberi dia dan ibunya tempat berteduh. Memberi ibunya pekerjaan pada saat ibunya terkontang-kanting ditinggalkan suami dan Tuan Haji Aman jugalah yang membiayai segala perbelanjaannya sehingga dia mendapat tawaran ke universiti beberapa minggu lepas.
Terlalu banyak budi Tuan Haji Aman padanya dan ibu. Malah ibunya sendiri sempat berpesan agar dia sentiasa taat pada Tuan Haji Aman. Walaupun ibunya ketika itu hanya pembantu peribadi Tuan Haji Aman, namun Iman dapat melihat layanan Tuan Haji Aman pada ibunya saling tidak tumpah seperti layanan seorang ayah kepada anaknya dan dia dianggap bagaikan cucu sendiri. Tidak pernah dia dibeza-bezakan. Setelah ibunya meninggal akibat kemalangan jalan raya ketika balik daripada menggantikan tempat Tuan Haji Aman di sebuah majlis amal, secara tidak langsung Iman diletakkan sepenuhnya di bawah jagaan Tuan Haji Aman. Sejak itu bermulalah hidupnya di bawah budi Tuan Haji Aman.
Iman masih ingat lagi saat walang hidupnya, ketika itu dia di rumah ini sedang belajar dengan Tuan Haji Aman apabila menerima panggilan telefon daripada pihak hospital. Mereka bergegas ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Setelah menunggu hampir sejam di luar bilik kecemasan, sepasukan doktor keluar dengan wajah yang cukup suram. Seorang doktor yang agak berumur merapati datuknya. Mengkhabarkan satu berita yang telah merubah kehidupannya. Ibunya telah tiada dan tidak mungkin kembali.
Tuan Haji Aman segera memeluknya. Seingat Iman, sejak dari mula ibunya bekerja dengan Tuan Haji Aman, orang tua itu sentiasa melayan mereka seperti keluarga sendiri. Seketika selepas pengebumian jenazah ibunya, Tuan Haji Aman jatuh pengsan. Hampir diserang sakit jantung datuknya itu. Umpama yang pergi itu anaknya sendiri.
Iman dapat merasakan kesedihannya ketika itu dikongsikan dengan Tuan Haji Aman. Sekurang-kurangnya ketika itu dia tahu, dia tidak bersendirian. Oleh itu jasa Tuan Haji tidak mungkin dia lupakan. Budi Tuan Haji Aman itu umpama darah yang mengalir di tubuhnya. Lalu kini apa sahaja pilihan yang dia ada?
"Kamu diam Arif! Kalau kamu tak tahu, kamu jangan cakap. Kamu tak tahu berapa banyak abah dengan ibu kamu berhutang budi dengan datuk Iman, ketika abah dan arwah umi kamu mula-mula kahwin dulu. Hidup kami ni susah, susah sangat sampai nak makan pun payah. Siapa yang tolong kami? Itu, arwah Haji Khalid, datuk Si Iman tulah yang tolong kami. Tolong carikan kerja. Tolong hulurkan apa yang patut. Lagi satu kamu kena ingat, syarikat abah yang kamu bangga-banggakan tu, syarikat yang buat kau dapat title Dato’ tu, datangnya daripada duit siapa Arif? Kalau tak duit datuk dan nenek Iman yang bagi modal..." katanya kesal. Kesal dengan sikap anak lelakinya yang tidak tahu mengenang budi.
Dato’ Arif menarik nafas dalam-dalam. Kisah silam yang sudah berulangkali diputarkan. Sudah naik sebu telinganya mendengar. Sudah naik jemu telinganya menadah cerita yang hampir sama apabila setiap kali mereka bertengkarkan soal Iman.
"Betapa mereka percayakan abah... dan umi kamu..." ujar Tuan Haji Aman lagi dengan nada tertahan-tahan.
"Mereka sanggup beri kami duit. Beri pinjaman pada kami supaya kami ni dapat berniaga. Sampai sekarang duit modal tu tak berbayar lagi. Bukan abah tak nak bayar... tapi atuk Si Iman tu langsung tak nak terima. Katanya itu hadiah atas kejayaan abah. Sumbangan dia sebagai seorang kawan. Kalau kamu sedar Arif, abah dan umi memang terhutang budi sangat dengan keluarga Iman tu..." luah Tuan Haji Aman lagi. Dia tidak mahu anaknya itu lupa budi yang telah ditabur. Jangan riak dengan apa yang mereka ada sekarang.
Seketika ruang bilik bacaan itu menjadi sepi. Yang kedengaran hanyalah desah kesal Tuan Haji Aman.
"Satu yang abah terkilankan, abah tak sempat balas budi mereka. Amanah mereka menjaga Khadijah tu pun, abah tak dapat nak laksanakan dengan sempurna. Sayang sekali... hidup datuk, nenek dan ibu Iman tu singkat, sampai abah tak sempat balas budi mereka. Hidup satu-satunya anak mereka Khadijah, ibu Si Iman itu pun abah hancurkan. Kamu tak tahu betapa kesalnya abah. Kalaulah abah tak berkeras nak kahwinkan dia dengan Farid dulu. Tak mungkin hidup Iman tu jadi anak yatim piatu sebelum masanya. Farid tu memang tak guna! Sebab itu abah nak Iman kahwin dengan Danish supaya nanti tak dapat Si Farid tu nak tuntut apa-apa daripada Iman. Lagipun Farid sendiri dah setuju. Sekurang-kurangnya abah tahu, Danish boleh jaga Iman dengan baik. Sekarang terpulanglah pada kamu!" Agak keras suara Tuan Haji Aman ketika itu.
Iman dapat merasakan kemarahan yang membara daripada datuknya.
"Abah, tu kisah lama. Tak cukup ke selama ni kita jaga Iman tu. Dah banyak yang kita lakukan untuk dia. Lagipun bukan saya tak tahu abah ugut Farid supaya setuju dengan perkahwinan ni. Saya tak setuju abah. Hajar pun tak setuju. Danish anak kami. Abah tak ada hak nak atur hidup dia. Walau apa pun terjadi, saya tak akan setuju abah. Inikan pula Danish sendiri yang sudah ada pilihan hati. Danish dah lama berkawan dengan Maya. Maya anak kak long Hajar tu. Budaknya baik dan up to date. Arif rasa Maya tu jauh lagi sesuai dengan imej keluarga kita. Dia boleh bantu Danish dalam perniagaan kemudian hari," kata Dato’ Arif tegas.
"Maya anak Si Timah tu. Budak yang tak cukup kain, tak cukup adab, tu yang kamu kata baik. Bilalah kamu ni nak berubah Arif? Kamu tak nampak ke Iman tu seribu kali lebih baik daripada budak tu. Kalau kamu tak nak, tak apa, Arif. Abah cuma nak ingatkan kamu, nakkan harta abah kamu ikut cakap abah ni. Kalau kamu setuju bermenantukan Si Iman, abah akan warisi segala hak syarikat itu pada Danish sebagai hadiah perkahwinan dia dan Iman. Tapi kalau kamu nak juga budak Maya tu jadi menantu kamu, kamu dan keluarga kamu jangan harap satu sen pun daripada abah!" tegas Tuan Haji Aman
"Sekarang terpulang pada kamu. Abah bagi kamu tiga hari untuk berfikir. Ingat Arif, bila abah kata gadis itu terbaik untuk menantu keluarga ni dan isteri Danish, bererti gadis itu terbaik. Tak perlu kamu tengok jauh. Itu Arrisya buktinya. Kamu tengok Si Arrisya, dulu kamu menentang habis-habisan Johan tu jadi menantu kamu. Sampai tak nak jadi wali. Ini, orang tua ini jadi wali. Abah kamu ini jadi wali. Sekarang, betapa bahagia mereka berdua. Kamu sakit dulu, siapa yang jaga kamu kalau tak Johan, menantu bukan dalam senarai kamu tu. Dalam dunia ni bukan kedudukan yang kita perlu tengok, tapi hati budi Arif. Abah tak nak cakap banyak. Kamu fikirlah tawaran abah ni. Iman atau Maya?" kataTuan Haji Aman memberi kata putus.
Betapa tergoresnya hati Iman ketika mendengar lamaran ke atasnya. Lamaran untuknya adalah satu ugutan. Dirinya ‘dilamar’ dengan nilai jutaan ringgit harta Tuah Haji Aman. Kahwin dengannya dapat harta berjuta. Begitu menyusahkan dirinya ini. Sehingga datuk terpaksa membayar jutaan ringgit supaya dia di‘angkat’ menjadi isteri orang. Rendahnya maruah dia. Sehingga datuk terpaksa membayar harga dirinya untuk menjadi menantu dan seorang isteri.
Iman berdoa semoga segala-galanya tidak dipersetujui oleh Dato’ Arif. Tetapi mungkinkah? Sedangkan dia yakin tidak akan ada penolakan. Tak mungkin untuk Dato’ Arif tolak tawaran ini.
TEPAT agakannya. Tiga hari kemudian dia dipinang oleh Datin Hajar dengan wajah yang kelat. Siapa yang gembira mendapat menantu bukan pilihan? Iman ingin menolak sebenarnya namun dia tak sampai hati melihat wajah gembira datuknya. Kini harapannya hanya satu. Harapannya pada Danish. Di dalam waktu yang singkat itu Iman berharap Danish datang memutuskan pertunangan. Berharap sangat. Namun harapan hanya tingal harapan. Buktinya hari ini muncul juga.
"Huuh..." Keluhan terdengar lagi di bibir manis Iman. Wajahnya nampak lain hari ini dengan solekan nipis. Cantik solekannya namun tidak mampu menyembunyikan wajah sedih itu.
"Kenapa mengeluh ni, Iman? Orang nak kahwin gembira, tapi dia mengeluh pulak. Iman... Iman dengar tak Kak Risya panggil ni?" Arrisya memanggil Iman sekali lagi.
Iman memandang bakal kakak iparnya itu. Dia tahu selain datuk, hanya Kak Arissya dan Abang Johan yang gembira dengan perkahwinan ini. Arrisya sendiri berhempas pulas menolongnya membuat persiapan walaupun wanita itu sedang menanti hari untuk melahirkan anak.
"Tak ada apa-apalah kak. Cuma tak sangka Iman akan kahwin pada usia baru dua puluh tahun. Muda, kan kak?" Iman cuba tersenyum menyembunyikan rasa di hatinya.
"Muda memang muda... tapi dah jodoh Iman. Lagipun Iman, akak gembira sangat Iman jadi adik ipar akak. Iman tahu tak, sejak kali pertama akak tengok Iman, akak dah berdoa Iman jadi adik ipar akak. Tenyata doa akak termakbul juga akhirnya. Akak pasti Iman akan bahagia dengan Danish. Adik akak tu memang nampak dingin, tapi kalau Iman dah kenal dia nanti, baru Iman tahu dia tu romantik orangnya. Sekali dia sayang kat Iman, seumur hidup dia akan sayang Iman." Arrisya sengaja menceriakan suasana. Dia tahu Iman seakan-akan ragu akan keputusannya. Biasalah gementar untuk menjadi isteri orang katakan. Lagi-lagi dengan suasana perkahwinan aturan keluarga begini.
Iman hanya tersenyum mendengar kata-kata Arrisya. Betul ke? Betul ke dia akan bahagia dengan Danish? Semalam, dia sudah pun bertemu dengan Danish. Tunangnya itu datang untuk mengambil baju nikah mereka. Dari mata Danish, dia dapat melihat betapa kecilnya dia. Lelaki yang bergelar tunangnya itu, nampaknya sangat membenci dirinya. Masakan tidak, lelaki itu melihatnya umpama musuh di medan perang. Aura tunangnya sahaja mampu memberitahu yang Danish menyalahkan dirinya untuk pernikahan mereka ini. Itu hanya aura, belum pandangan matanya Tetapi tahukah Danish yang dia sendiri tidak tahu apa salah dirinya sehingga dihukum dengan pernikahan ini.
"Iman...! Ehhh... termenung pulak dia," tegur Arrisya apabila menyedari Iman leka dengan dunia khayalannya sendiri.
Iman ingin membalas teguran Arrisya. Namun belum sempat dia berbuat demikian, kedengaran bunyi ketukan di pintu. Muncul seorang pemuda tampan memakai baju sedondon dengannya. Dia kenal pemuda itu. Itu Danish, tunangnya yang sebentar lagi akan menjadi suaminya. Danish? Hai... takkan dah habis majlis akad. Iman sedikit hairan. Dia belum dipanggil ke hadapan lagi untuk tandatangan.
DANISH memandang wajah hairan kakaknya dan Iman. Dia sendiri tidak berapa pasti, adakah betul itu nama gadis yang bakal dikahwininya nanti? Dulu zaman remaja, dia sering juga terserempak dengan gadis itu jika bertandang ke rumah datuknya. Namun ada atau tidak gadis itu di vila mewah ini, sama saja. Langsung tidak ada bezanya. Bukannya dia pernah ambil peduli pun tentang kehadiran gadis itu.
"Can we talk?" Danish mengutarakan soalan tanpa diketahui untuk siapa soalan itu. Tanpa menghiraukan wajah terpinga-pinga kedua-duanya.
"Okay. Jom." Arrisya segera menjawab seolah-olah soalan itu pasti untuknya. Malah dia sudah ingin bangkit walaupun sedikit lambat dengan keadaannya yang sedang berbadan dua.
"Not you, sis. I mean her." Danish segera memotong sambil jarinya lurus menunjukkan Iman.
Arrisya membutangkan matanya. Mana boleh pengantin lelaki menemui pengantin perempuan sedangkan beberapa minit lagi mereka akan dinikahkan. Buang tabiat apa adiknya ini? Tak pernah dibuat orang!
"Mana boleh. Tunggulah lepas nikah nanti. Kamu ni dah buang tabiat ke apa, Danish? Tak pernah dibuat orang pengantin lelaki nak jumpa pengantin perempuan sebelum nikah. Bukannya lama pun. Tak sampai setengah jam lagi. Hish! Tak sabar betul kamu ni!" bangkang Arrisya pada adiknya itu. Danish ada-ada aje. Macam tak tahu adat. Apa pula kata tetamu nanti? gumamnya di dalam hati.
"Tak apa, Kak Risya. Biarlah Iman jumpa dia. Kak Risya tak payahlah risau. Kami jumpa sekejap aje. Dekat-dekat sini aje. Iman okey. Jom kita ke balkoni," kata Iman meyakinkan Arrisya.
Arrisya mengangguk, dia segera bangkit menuju ke balkoni biliknya. Danish hanya mengekori gerak-geri Iman.
Arrisya sudah tidak mampu menghalang, hanya melihat. Entah kenapa hatinya rasa tidak sedap. Pasangan di hadapannya kini bukan seperti pasangan yang ingin berkahwin, tetapi seolah-olah musuh sejak lahir. Tidak ada sinar kemesraan langsung! Yang ada hanya aura dingin yang menghiasi wajah mempelai.
Danish menutup pintu susur yang memisahkan balkoni itu dengan ruang bilik Iman. Sekarang balkoni itu hanya milik mereka. Danish menyerahkan sebuah sampul surat di tangan Iman.
Perlahan-lahan Iman terus membuka dan membacanya. Sepertinya surat perjanjian. Sudah berstem. Begitu nekad nampaknya.
Iman membaca satu per satu syarat dalam surat itu. Ada empat kesemuanya.
Kami bersetuju untuk bersatu dalam pernikahan ini dalam keadaan bersyarat. Bahawasanya kami masing-masing dengan rela hati bersetuju dan akan mematuhi setiap syarat yang ada di dalam perjanjian ini sepanjang pernikahan kami. Oleh itu dengan rela hati kami akan menuruti syarat-syarat pernikahan ini seperti di bawah:
Pertama: Perkahwinan ini adalah atas kehendak keluarga dan Iman tidak berhak ke atas harta Danish walau sesen pun.
Kedua: Masing-masing tidak berhak mencampuri urusan peribadi diri pasangannya.
Ketiga: Danish membenarkan Iman bebas melakukan apa sahaja yang dia inginkan, tanpa perlu memberitahu kepada Danish dahulu dan begitu juga Danish bebas melakukan apa sahaja tanpa sebarang rasa terikat.
Keempat: Mereka hanya akan berpisah apabila Danish melafaskan talak, atau erti kata lain, Iman tidak berhak meminta cerai.
Usai membaca surat perjanjian itu, tanpa ragu-ragu dan tanpa bertanya walau sepatah kata pun, Iman terus menurunkan tandatangan. Betapa dia rasa terhina dengan surat itu. Saat ini dia terasa maruahnya terletak di tapak kaki Danish yang diseliputi lumpur.
Hina sangatkah dia sehingga diperlakukan sebegini rupa? Hatinya terasa hancur apabila dihina. Terasa malu walaupun dengan diri sendiri.
Kini dia bagaikan sedang menandatangani surat perceraian sebelum bernikah. Hebatkan dirinya? Siapa sangka? Sememangnya saat ini Iman merasakan maruahnya diletakkan di tempat yang paling rendah. Lagi hina daripada saat dia mendengar perbincangan antara datuk dan bakal mentuanya.
Biarlah dia menandatangan surat itu bagi menegakkan sedikit sisa maruah yang masih diberikan padanya. Biar Danish tahu, dia tidak mengharapkan apa-apa dengan pernikahan ini.
"Kau betul-betul nak kahwin dengan aku? Sampai sanggup bersusah payah macam ni? Oh... aku tahu... tentu kau tak nak lepaskan aku. Takut kalau-kalau kau tak kahwin pula nanti. Tengoklah perempuan macam kau ni. Siapa yang nak? Perempuan kampung. Apa ubat yang kau bagi kat atuk aku sampai dia sayang sangat kat kau ni?" Belum puas agaknya Danish dengan surat perjanjian itu, lalu dia tegar berbicara demikian.
Sejujurnya, Danish rasa tercabar tatkala melihat ketenangan Iman menurunkan tandatangan. Ingatnya, perempuan itu akan menangis, merayu padanya. Rupa-rupanya tidak. Iman cukup tenang. Langsung tiada riak duka. Ego juga gadis ni, rupa-rupanya. Rasa tercabar egonya. Jadi apa lagi caranya? Hanya tinggal untuk merendah-rendahkan maruah Iman untuk menunjukkan kehebatannya.
Iman tidak bersuara saat mendengar kata-kata Danish itu. Untuk apa bertegang urat? Tak ada faedah pun! Ikut suka Danishlah nak cakap apa pun! Dia malas hendak berbalah pada saat-saat begini. Malah sebarang penjelasan juga tidak diperlukan daripada perjanjian tersebut.
Iman memasukkan semula surat tadi berserta pen ke dalam sampul surat. Lalu tanpa perasaan, dihulurkan sampul itu kepada Danish. Dia mendongak.
Mata Iman tajam menikam mata Danish sehingga lelaki itu terpaku. Terpukau dengan anak mata Iman. Dari mata itu terhasil pelbagai rasa dan cerita. Semalam sewaktu dia datang ke sini untuk mengambil baju nikahnya, dia terserempak dengan Iman yang sedang duduk membaca novel. Namun dia buat tidak endah. Gadis itu dilihatnya suci daripada sebarang alat solek, hanya memakai T-shirt putih dan seluar track sambil wajahnya dihias dengan cermin mata berbingkai tebal. Betul-betul macam ‘nerd’.
Namun kini dia sedar siapa Iman di hadapannya. Seorang gadis yang comel tanpa cermin mata. Manis dengan solekan nipis walaupun agak tercemar dek bibirnya yang tersenyum hambar. Mata itu menikam anak matanya. Seolah-olah menceritakan satu kisah sedih dan perit dalam hidupnya. Irama hatinya seolah-olah hilang rentak. Bercelaru dan kian sukar ditebak....
"Sejak hari Datin Hajar membawa cincin ke sini, saya berharap sangat awak datang memutuskan pertunangan kita. Malah saya berdoa agar ikatan suci ni terputus sebelum saya sempat membinanya. Bila awak datang semalam, harapan saya berbunga... namun hampa. Kedatangan awak rupa-rupanya bukan untuk memutuskan pertunangan kita. Danish, awak jangan fikir saya ikhlas dengan apa yang dah dan bakal berlaku sekejap lagi? Awak tak terfikir ke usia saya terlalu muda untuk semua ini? Tapi saya tak ada hak untuk memilih, Danish.
"So?" soal Danish perlahan tetapi jelas di pendengaran Iman.
"Saya tetap perlu bernikah dengan awak hari ni. Jika sekarang awak nak saya putuskan hubungan ni, saya tak mampu. Bukan kerana saya malu... tapi kerana saya tak nak atuk sedih. Saya minta maaf. Percayalah... tak terlintas di hati saya untuk menjadi isteri awak. Sebab tu saya sanggup menandatangan surat cerai sebelum sempat saya menandatangan surat nikah. Beritahu saya, gadis mana yang begitu bertuah, sampai tergamak awak ceraikan saya sebelum sempat kita bernikah. Saya jadi janda sebelum bergelar isteri orang. Kalaulah awak tahu, Danish... menjadi isteri awak adalah sesuatu yang paling saya takuti sebenarnya. Apa yang terjadi sekarang, saya nak awak tahu, bukan kerana saya ingin jadi isteri awak, tapi kerana saya tak ada pilihan," ucap Iman tenang. Diluahkan segala yang tersirat di hati. Biar Danish tahu gelodak di jiwanya. Sekurang-kurang lepaslah sedikit dendam di hatinya. Kurang sedikit beban yang terpaksa dia tanggung.
Merah wajah Danish menahan malu dengan kata-kata Iman Umairah yang bagai satu hinaan. Egonya yang setinggi langit tiba-tiba bagai mendarat ke bumi. Terasa bagai buku bertemu ruas. Beribu gadis mengejarnya, namun yang satu ini menyatakan dia langsung tidak ada hati untuk mengahwininya. Sedangkan selama ini, lirikan matanya sahaja sudah boleh menyebabkan para gadis terduduk mengikut kehendaknya.
Danish merentap keras lengan Iman Umairah yang ingin berlalu. Kata-kata gadis itu benar-benar telah menjentik ego lelakinya.
"Kalau kau tak nak perkahwinan ni, kenapa tak kau sendiri batalkan?" Danish mencengkam kasar lengan Iman.
Berkerut-kerut wajah Iman menahan sakit.
"Saya hanya menumpang. Budi atuk awak pada saya tak terbalas. Hidup saya ni milik keluarga awak. Apa hak saya nak membantah? Saya bukan awak yang bebas mencatur hidup sendiri. Kaki saya terikat sebelum saya bisa berjalan. Tangan saya dipotong sebelum saya boleh menggapai. Saya tak bertuah seperti awak yang masih boleh bersuara dan menyakiti orang lain. Hidup saya bukan milik saya. Sejak saya melangkah ke rumah ni, hidup saya milik keluarga awak dan selepas pernikahan ni, hidup saya akan jadi milik keluarga awak untuk selama-lamanya. Saya ni badut yang hanya tahu menangis. Tengok ajalah sekarang, awak dah pun belajar menyakiti hati saya sebelum sempat saya belajar mempertahankan diri. If you don’t mind, boleh tolong lepaskan tangan saya?" Iman melirik ke arah lengannya yang dicengkam kuat oleh Danish. Sakit, hingga hampir meleleh air matanya.
"Thanks and may Allah bless you. I will always pray for it!" ucap Iman sebaik sahaja Danish melepaskan cengkamannya.
Lelaki itu terkaku. Dia mendapat jawapan daripada kesedihan mata itu. Seketika dia memahami kenapa pedihnya mata itu bercerita tadi. Hatinya tersentuh di ruang paling dalam. Kata-kata yang ikhlas dan penuh jujur, itu yang mengusik hatinya.
"AKU terima nikahnya Tengku Iman Umairah Binti Tengku Mohammad Farid dengan mas kahwin dua puluh dua ringgit tunai."
Dengan kali kedua lafaz, Iman tahu kini dia sudah menjadi milik Aiman Danish Dato’ Arif. Hatinya menjerit tidak rela.
Iman menunduk. Setitis air mata jatuh di pipinya. Bukan air mata gembira, namun air mata itu melambangkan betapa deritanya dia. Iman benar-benar berharap keputusannya ini tepat walaupun hatinya meragui.
Iman melihat ke arah ayahnya yang menjadi wali. Setelah enam belas tahun menghilang, kini baru dia berpeluang bertemu dengan ayahnya. Tengku Mohammad Farid adalah ayahnya dan tiada siapa yang tahu hal itu kerana sejak dulu lagi ayah telah membuang dirinya dan abangnya.
Tanggungjawab seorang ayah kini telah beralih pada Danish. Terdetik di hati Iman bagaimana seorang ayah sanggup mengahwini anaknya dengan seorang lelaki yang langsung tidak dia kenali. Tidak takutkah dia dengan masa depan anaknya nanti? Tapi apabila difikirkan semula, untuk apa Tengku Farid memikirkan masa depannya? Sedangkan selama ini lelaki itu tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah pada dia dua beradik.
Abang, tolong Iman bang!!! Hati Iman menjerit. Mungkinkah abangnya yang berada nun jauh beribu batu itu boleh mendengar luahan hatinya? Bolehkah satu-satunya saudara yang dia ada, menyelamatkan dirinya? Apa kata abangnya nanti? Masihkah abangnya tidak percaya adiknya ini sudah menjadi milik orang? Pelbagai persoalan berlegar-legar di fikirannya.
DANISH melihat air mata itu jatuh di pipi Iman. Hatinya tersentuh tatkala melihat air mata itu. Walau seribu orang menyatakan air mata itu adalah air mata gembira, namun Danish tahu Iman ’berkabung’ dengan pernikahan ini. Danish mengetahuinya... cuma rasa ego menghalang untuk dia mengakuinya. Tidak sangka dia yang menjadi rebutan ramai gadis di luar sana, tidak mampu menarik perhatian Iman. Entah kenapa hati Danish tiba-tiba berdebar tidak menentu....
Danish mendekati Iman. Dia mengangkat jari manis isterinya itu lalu disarungkan dengan sebentuk cincin. Tangan Iman sejuk dan menggeletar saat menyalami tangannya. Tenang hatinya tatkala bibir comel itu menyentuh lembut belakang tangannya. Terbit rasa kasihan di hati Danish.
Perlahan-lahan Danish mengangkat wajah Iman dan menyapu lembut air mata yang membasahi wajah sayu itu. Seketika dia tunduk lalu mencium dahi isterinya. Hanya itu yang mampu dia lakukan untuk Iman saat ini. Maruah wanita itu perlu dipelihara di hadapan para tetamu.
"Tahniah, Iman. Kak Risya gembira sangat. Aduh!" Arrisya menjadi orang pertama yang mengucapkan tahniah.
Arrisya mencium kedua-dua belah pipi Iman, lantas memegang perutnya. Sudah sampai waktu agaknya. Memang dia hanya menanti waktu untuk bersalin.
"Kak Risya, kenapa ni? Dah sampai waktu ke?" Iman menjadi panik melihat wajah Arrisya yang nampak berpeluh.
"Sakitnya Iman. Abang!!!" jerit Arrisya memanggil suaminya.
Johan yang terkejut mendengar jeritan Arrisya, tergesa-gesa menghampiri isterinya.
"Kenapa sayang? Dah nak bersalin ke?" tanya Johan macam orang bodoh.
"Sakit abang..." rengek Arrisya manja.
Johan pantas memaut tubuh isterinya. Dia panik. Tak tahu hendak buat apa?
"Abang Johan. Kita bawa Kak Risya ke hospital. Dah nak bersalin agaknya ni." Tak peduli akan majlisnya itu, Iman menolong Johan memapah Arrisya ke kereta. Kunci kereta sudah di tangannya.
"Awak nak pergi mana ni? Kan majlis kita ni?" Danish cuba menghalang Iman. Sebelah tangannya menahan Iman daripada membuka pintu kereta.
"Nak hantar Kak Risya. Pedulikan majlis ni. Nyawa orang lagi penting. Nyawa akak dan anak saudara saya lagi penting." Suara Iman Umairah kedengaran tegas. Matanya menyala memandang mata Danish. Dalam lembut wajahnya, terpancar riak tegas yang sukar dibantah oleh sesiapa.
"Bagi kat saya kunci tu. Duduk kat sebelah." Danish merampas kunci di tangan Iman. Kata-kata isterinya itu menyentap egonya. Apalah sangat majlis ini jika ingin dibandingkan dengan nyawa kakaknya?
Danish masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Tanpa membantah, Iman pantas mengambil tempat duduk di sisi Danish.
"Kak Risya... sabar ya...." Iman nampak sangat cemas. Lebih cemas daripada Danish, adik Arrisya sendiri.
Sesekali Iman menoleh ke arah Arrisya. Risau dia. Bertambah risau mendengar rintihan kakak iparnya itu.
Danish memerhati Iman yang duduk di sebelahnya. Sesekali kelihatan gadis itu memandang ke belakang dengan wajah yang risau. Nampak benar Iman lebih risau daripada dirinya yang berkongsi rahim ibu dengan Arrisya. Malah, mama dan papanya juga tadi nampak tidak teruja pun dengan keadaan kakaknya itu. Baiknya budak ni, detik hati Danish.
ARRISYA dibawa masuk ke bilik bersalin sebaik sahaja sampai di hospital sejak lebih dua jam yang lalu. Iman dan Danish sabar menanti di luar. Johan menemani isterinya di dalam bilik bersalin yang masih tertutup rapat itu. Jam sudah menjangkau hampir pukul satu petang. Walau sudah berjam mereka di situ, namun tidak seorang pun ahli keluarga yang lain ada datang menjenguk. Pasti mereka sibuk melayan tetamu yang datang sedangkan pengantinnya tiada. Ahhhh... peduli apa! Mereka lagi suka begini. Iman lagi rela begini. Jauh daripada semua orang. Jauh daripada kepura-puraan yang dia sendiri benci.
"Saya laparlah. Nak beli makanan sekejap. Awak nak apa?" Danish memecah kesunyian.
Mendengar pertanyaan itu, Iman pantas berpaling ke arah Danish.
"Tak apa. Saya tak lapar lagi. Awak pergilah makan." Iman menjawab lembut dengan sebaris senyuman di bibirnya.
Manis senyuman yang ikhlas itu di mata Danish. Entah buat kali keberapa di dalam beberapa jam ini, dia jatuh hati pada Iman Umairah. Hanya kerana lirikan mata. Hanya dengan satu senyuman. Hanya dengan sebaris ayat....
"Suka hati awaklah."
Danish bergerak pergi. Bibirnya melepas keluhan kecil. Entah kenapa hatinya berdebar sejak melihat air mata Iman di majlis mereka tadi. Makin lama bersama Iman, hatinya makin terusik.
Kalau dia mengikut akalnya, terus terang dia mengakui dia hampir sahaja ingin membatalkan majlis akadnya. Dia tidak sanggup menjadi satu lagi duri di dalam hidup gadis itu. Masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Iman tempoh hari. Satu kenyataan yang akan membuatnya rasa bersalah setiap kali teringat. Kata-kata yang tak mungkin dia lupakan.
"Hidup saya bukan milik saya. Sejak saya melangkah ke rumah ni, hidup saya milik keluarga awak dan selepas pernikahan ni, hidup saya akan jadi milik keluarga awak untuk selama-lamanya. Saya ni badut yang hanya tahu menangis... dan menangis...."
Badut yang menangis. Benar, kerana itu tangisan Iman mengusik hati Danish. Dia tahu Iman benar. Kuasa di tangannya bukan di tangan Iman. Berderu rasa bersalah di hatinya. Sudahlah gadis itu dipaksa datuknya, dan dia menambah derita di hati gadis itu dengan kata-kata dan perjanjian yang tidak masuk dek akal. Kalau difikir berkali-kali, malu besar rasanya.
Danish masuk ke kafeteria tersebut. Banyak mata memandangnya. Ah… pasti mereka hairan melihatnya berpakaian persis pengantin. Memang aku pengantin pun... Jangan mereka fikir aku ni kahwin kat hospital sudah, bisiknya. Danish cuba tidak mengendahkan mata-mata yang memerhatikannya.
Danish meninjau beraneka jenis makanan yang terhidang di kafe hospital itu. Namun tidak ada satu pun menarik perhatiannya. Sudahnya dia mengambil beberapa keping sandwic untuk dirinya dan Iman. Mulai sekarang, dia harus belajar untuk lebih bertanggungjawab. Tanggungjawab? Perlu ke dia melaksanakan tanggungjawab yang bukan dia pinta ini? Bukan dia yang inginkan perkahwinan ini? Jadi perlukah dia perlu melaksanakannya?
Langkah Danish terhenti tatkala melihat pasangan di hadapannya. Niatnya hendak mengalas perut dengan sandwic bersama Iman terbantut. Kelihatan wajah Iman yang tunduk kesedihan dan seorang pemuda yang memakai pakaian doktor, merenung ke arah isterinya itu. Entah apa yang mereka bualkan. Danish sendiri tidak dapat mendengarnya. Yang jelas, doktor muda itu memandang sayu ke jari Iman yang dihiasi inai dan sebentuk cincin berlian.
Hati Danish tertanya-tanya, siapakah pemuda itu? Apakah hubungan mereka? Kenapa pandangan sayu itu seolah-olah menceritakan satu kisah percintaan yang tidak kesampaian? Ah... Danish tiada jawapannya. Untuk dia bertanya pada Iman, tak mungkin. Danish melangkah pergi. Bungkusan sandwic untuk dirinya dan Iman tadi sudah menjadi habuan tong sampah. Perasaannya tiba-tiba berkecamuk.
"IMAN dah nikah Hadi." Ayat itu perlahan-lahan keluar dari mulut Iman.
Hadi, seniornya zaman persekolahan dulu. Seorang lelaki yang pernah melamar hatinya, malah telah menyuarakan hasrat hatinya agar mereka bertunang ketika mendapat tahu yang dia akan ke Liverpool. Walau dia tidak pernah membalas cinta Hadi, sesungguhnya Iman lebih rela menjadi isteri Hadi berbanding Danish yang tidak berperasaan itu.
"Hadi tahu Iman. Mungkin dah bukan jodoh Hadi dengan Iman," kata Hadi tenang. Baginya, Iman tidak perlu tahu betapa terlukanya dia. Bukan sehari dua dia menyimpan perasaan pada gadis itu. Sejak mengenali Iman melalui adiknya lima tahun lalu... saat itu dia bergelar pelajar perubatan sehinggalah sekarang sebagai doktor pelatih.
"Iman minta maaf kalau Iman dah sakitkan hati Hadi." Hanya kata-kata maaf mampu dihulurkan saat ini.
"Tak perlu minta maaf, Iman. Iman tak bersalah. Hadi minta diri dulu. Jaga diri baik-baik. Kalau ada jodoh nanti... pasti kita akan berjumpa lagi." Hadi menundukkan sedikit kepalanya memohon diri.
Iman menghantar pemergian Hadi dengan rasa penuh bersalah.