Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 15

Bab 15

IMAN melangkah masuk ke pejabatnya. Semalam dia baru balik dari Cameron Highlands atas urusan kerja selama dua minggu. Senyuman manis di bibirnya. Kini dia sering lewat datang ke pejabat. Sejak kemalangan sebulan lepas dia telah menjadi pelanggan tetap teksi. Dia fobia untuk memandu. Setiap kali dia masuk ke bahagian pemandu, gambaran kemalangan itu akan datang menyapa fikirannya. Dia akan lewat datang dan lewat juga balik. Mula-mula dulu dia tidak biasa namun sekarang sudah menjadi rutinnya. Tidak kisah untuk berpenat lelah sebegitu.

"Iman. Bila sampai dari Cameron ni?"

Iman tersentak sedikit apabila ditegur oleh Hilmi, ketua bahagian sumber manusia. Tanpa salam Hilmi duduk melabuhkan punggung di hadapan Iman. Kehadiran tetamu memeriahkan pagi Iman.

"Malam semalam. Kenapa, ada cerita best ke masa Iman tak ada?" Mereka sudah seperti satu keluarga. Tiada formality apabila bersembang.

"Hmmm... you miss something big on the day you off to Cameron sis." Hilmi masih berteka-teki. Suka melihat wajah ingin tahu Iman.

"Come on, Hilmi. Tell me," ujar Iman tidak sabar.

Hilmi ketawa melihat wajah Iman yang tidak sabar itu. Riak wajah Iman memang telah dijangka. Teringin juga terus berteka-teki dengan Iman. Ingin mendera lagi namun dia tidak sampai hati.

"Kita ada bos baru. Anak Dato’...." Belum sempat Hilmi memberitahu terdengar ketukan di pintu bilik Iman yang sedia terbuka. Seorang lelaki yang segak memakai baju kemeja biru langit berdiri di hadapan pintu. Iman terpaku melihat lelaki yang berdiri di hadapan bilik pejabatnya. Sejak bila lelaki itu balik?

"Ops... Encik Aiman. Masuklah." Hilmi dengan selamba mempelawa. Bagaikan itu pejabat dia pula. Lelaki yang dipanggil Encik Aiman itu melangkah masuk.
Kedua-dua lelaki itu bersalaman sambil bertanya khabar. Hanya Iman yang terkulat-kulat melihat Aiman Danish di hadapannya kini. Bagaikan tidak percaya.

"Saya baru nak bagi tahu Iman tentang kepulangan Encik Aiman. Kenalkan ini Iman Umairah, pengurus O.R kita." Hilmi memperkenalkan Iman.
Aiman Danish... akhirnya dia kembali.

"Iman, ini Encik Aiman. CEO baru kita. Anak Dato’. Iman?" Hilmi memanggil nama Iman kuat apabila tersedar yang Iman bagaikan hilang di dalam dunianya sendiri. Begitu ralit memerhatikan bos baru mereka itu.

"Hah!" Iman betul-betul tersedar dari dunianya apabila namanya dipanggil kuat oleh Hilmi. Wajahnya jelas terkejut. Hilmi dan Danish hanya tergelak kecil melihat wajah Iman yang blur.

"Iman ni. Tahulah bos kita ni kacak, tapi tak payahlah renung sampai macam tu sekali. Mari I kenalkan lagi sekali. Ini Encik Aiman, bos baru kita." Hilmi sempat mengenakan Iman.

"Hmmm... hai." Itu sahaja reaksi Iman. Dia hanya mampu memandang Danish seketika sebelum mula menyibukkan diri dengan tugasnya. Hilmi terkejut melihat penerimaan Iman. Tidak pernah Iman berperangai sebegini. Iman yang dikenalinya seorang yang peramah dan mudah mesra.

"Hilmi, boleh tinggalkan saya dan Iman sekejap," pinta Danish. Tegas suara itu. Suara yang menunjukan arahan ini tidak boleh dibantah.

Permintaan itu lebih mengejutkan Hilmi. Hatinya kuat menyatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dua manusia di hadapannya ini. Hilmi berat hati untuk pergi namun dia terpaksa juga berlalu apabila arahan itu keluar dari mulut bos barunya. Hilmi tidak mahu mencari masalah. Sekarang mungkin dua manusia di hadapannya ini ingin menyelesaikan masalah mereka sendiri.



"ADA apa yang boleh saya bantu?" Iman bertanya tanpa mengangkat muka. Pura-pura menyibukkan diri dengan kerja. Suaranya juga tegas tanpa perasaan. Dia yakin pada saat itu hanya tinggal dia dan Danish sahaja. Hatinya masih sebal. Teringat kejadian sebulan lepas ketika dia melawat Danish di London. Kejadian yang membuatkan dia mengingati kedudukannya di sisi Danish.

Betapa lelaki itu berani membawa Maya pulang ke rumah, bermalam di rumah lelaki itu sedangkan dia ada di rumah itu. Masih terasa sakit hati apabila terpandang Maya keluar dari bilik Danish di pagi hari. Hati mana yang tidak sakit melihat gadis lain keluar dari bilik suaminya. Bilik yang dia sendiri tidak pernah diami.

Lalu tanpa kata Iman meninggalkan rumah Danish tanpa sebarang kata kerana dia tahu ketika itu Danish tiada di rumah. Setiap pagi Danish akan keluar berjoging dan kembali ke rumah untuk bersarapan. Buat apa dia menanti di rumah lelaki yang langsung tidak menghormati dirinya. Sedangkan dia isteri yang sah pada lelaki itu. Walaupun hanya di atas kertas, sekurang-kurangnya Danish hormatkan dia, hormatkan agama mereka.

Dia bukan Iman yang dahulu. Yang boleh dipijak-pijak. Iman sekarang Iman yang berani bersuara. Iman tahu apa haknya dan dia akan berusaha mempertahankan hak itu. Bekerja dalam dunia perniagaan telah banyak mengubahnya. Mengubah Iman menjadi seorang yang lebih pentingkan diri. Dunia perniagaan membuatkan dia belajar perlu jadi kejam dan tahu haknya di mana.

"Dengarnya Iman kemalangan sebulan lepas. Betul ke?" Danish menjawab dengan pertanyaan. Sengaja membuat provokasi. Dia kemudian duduk di hadapan Iman. Dia tahu Iman berpura-pura sibuk kerana tidak ingin berbual dengannya.

Bukan dia tidak tahu Iman kemalangan selepas sehari balik dari London. Malah dia mengambil flight terus ke Malaysia sebaik sahaja mendengar perkhabaran itu. Selama seminggu dia menjadi penunggu malam Iman.

"Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman. Kata-kata pedas itu menyentap hati Danish. Terdiam Danish dibuatnya. Ingin membalas tetapi tidak tahu hendak berkata apa.

"I tahu you nak tagih janji. Jangan risau, I masih ingat janji kita. I akan keluar dari syarikat ni dan kehidupan keluarga you dalam tempoh enam bulan. Jangan takut, I ni manusia yang berpegang pada janji. Kalau you masih tak percaya, you boleh buat kontrak. Silakan. You kan memang suka buat kontrak." Iman berkata sinis.

Kali ini kata-kata itu disertai dengan senyuman sinis. Wajahnya menentang wajah Danish. Iman sengaja menyandarkan tubuhnya pada kerusi empuk miliknya sambil tangannya bermain dengan pen. Lagaknya seperti mencabar Danish. Sesungguhnya Danish terasa tercabar dengan perlakuan Iman itu.

Hati Iman sebenarnya sebal. Sakit hati pada Danish. Memang dia kemalangan. Seminggu dia terlantar di hospital. Namun tidak sekali pun Danish menjenguknya sedangkan saban waktu dia menunggu Danish hadir supaya dia tidak perlu tebal muka menghadapi sindiran Puan Hartimah, mak long Danish. Wanita yang sudah berumur separuh abad itu sanggup datang ke hospital semata-mata untuk menyindir dan memaki hamunnya. Jika Iman fikirkan kembali kenapa Danish hendak menjenguknya sedangkan sewaktu datuknya meninggal pun lelaki itu tidak balik ke Malaysia. Namun ini ruang buat Iman membalas dendam rasa sakitnya, lalu untuk apa dipersiakan.

Danish terpempan. Egonya tercabar. Direnungnya wajah Iman yang seakan tidak berperasaan. Hanya mata jernih Iman membayangkan isi hatinya. Masih jujur untuk menjadi pencerita bahang hati si pemiliknya. Dia tahu Iman tidak rela. Dia tahu Iman mencintainya. Dia tahu Iman masih menunggunya. Dia akui semua itu kerana dia pernah membaca diari Iman ketika bermalam di hospital. Setiap malam dia membaca apa yang dicatatkan oleh Iman. Setiap orang yang datang melawatnya dan sebaris ayat yang menjadi penutup kisah harian Iman.

AIMAN DANISH... KUTUNGGU KEHADIRANMU...

Diari lama Iman yang diambil selepas akad nikah masih dalam genggamannya.

"Hmmm.... Kalau tak lupa, baguslah. By the way selamat bekerjasama." Danish menghulurkan tangan. Sengaja Danish berkata begitu untuk menduga. Perubahan riak pada wajah Iman membuatkan Danish yakin kata-kata Iman tadi sebenarnya tidak bermaksud apa-apa. Hanya sekadar untuk membuatnya marah.

Iman teragak-agak menyambut huluran salam itu. Pasti ada sesuatu. Lebih-lebih lagi dengan senyuman penuh muslihat di bibir Danish. Namun tangan itu tetap disambut apabila Danish mengangkat kening mencabar. Lama tangan Iman dalam genggaman. Iman pula sedaya upaya menarik tangannya. Melihat isyarat mata Danish, Iman tahu lelaki itu mahu dia mencium tangannya. Mahu tak mahu dia lakukan juga.

"Ini sebagai peringatan. Selagi I tak lafazkan apa-apa you tetap isteri I. Jangan lupa tu. Ops... sebelum I pula yang terlupa, I nak bagi tahu you yang I takkan pernah lafazkannya. I takkan lepaskan you. Jadi bersedialah untuk jadi Mrs. Aiman Danish untuk seumur hidup you." Danish tersenyum angkuh. Terasa dirinya menang. Danish memang sengaja mahu menyakiti hati Iman. Mencabar kewibawaannya.
"Bercerai bukan satu-satunya jalan untuk berpisah." Perlahan ayat itu terpacul dari mulut Iman. Lemah tetapi masih jelas kedengaran. Bukan niat untuk menyakitkan hati sesiapa, namun Iman berkata sesuatu yang jujur dari hatinya.

Danish tersentak. Dia tidak pernah terfikir tentang hal itu.

Ya, tidak semestinya mereka bercerai baru mereka berpisah. Mengikut haluan masing-masing juga dikatakan berpisah. Danish baru tersedar hal itu. Dia sudah tidak tahan lagi untuk berlama-lama di situ. Danish pantas berlalu pergi tanpa pamitan.

Iman mengeluh. Ingin menyakitkan hati Danish namun hatinya sendiri telah lama terluka. Sanggupkah dirinya meninggalkan kebahagiaannya sekarang? Dan kuatkah dirinya nanti?

DANISH memandang ke luar biliknya. Panorama bangunan pencakar langit menjadi tatapan matanya. Kata-kata Iman menusuk ke kalbunya. Iman benar, bukan hanya lafaz cerai yang boleh memisahkan mereka. Kalau benar Iman bertindak pergi dari lingkungan keluarganya, Iman akan bebas daripadanya. Bebas ke mana sahaja. Bebas bergaul dengan siapa sahaja dan bebas bercinta dengan sesiapa pun. Memikirkan hal itu Danish berasa tertekan. Sesak nafasnya.

Entah sejak bila bermula dan di mana ianya berlaku. Tetapi yang pastinya Danish memang menyayangi Iman. Hanya kerana ego dia tidak mengakuinya dahulu. Sejak melihat keteguhan dan ketabahan Iman membantu keluarganya di saat kemalangan yang meragut nyawa atuk dan abang iparnya tiga tahun lalu, Danish seakan terpukau pada Iman. Berjauhan tidak bermakna dia tidak peduli. Berdiam diri tidak bermakna dia tidak kisah. Perkembangan Iman di dalam koceknya. Setiap satunya dia tahu.

Danish yakin sesuatu perlu dilakukan. Iman sudah dirasakan terlalu jauh berubah. Jika dia tidak cepat bertindak. Tidak mustahil Iman akan terlepas ke tangan orang lain. Sekarang Iman sudah pandai membantah. Sekarang Iman sudah seperti tidak kisah dengannya. Dia tahu ini semua permainan Iman. Iman bagaikan mahu bermain tarik tali dengannya.

Baik. Kalau Iman ingin bermain tarik tali dengannya, Danish akan ikut rentak Iman. Danish akan sama-sama bermain. Ohh tidak... Danish tidak mengikut rentak Iman. Takut lain jadinya nanti. Danish suami, jadi Iman yang akan mengikut retak dia. Danish akan tukarkan permainan ini menjadi gelanggangnya. Iman perlu diajar agar patuh padanya. Danish akan pastikan dia menang dan Iman akan terus di sampingnya. Menjadi miliknya. Dia juga akan menjadi yang terpenting dalam hidup Iman. Kalau gadis di luar berebut untuk mendapat perhatiannya tidak mungkin Iman yang sememangnya menyayanginya akan mendiamkan diri. Iman... tunggulah!

0 comments:

Post a Comment