Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 17

Bab 17

"ABANG dah bagi tahu Iman ke pasal Danish dah balik sini?" Tidak sabar-sabar Datin bertanya kepada suaminya yang duduk membaca akhbar di ruang tamu. Sejak Danish balik suaminya itu sudah jarang ke pejabat. Ambil cuti katanya.

"Hm... belum lagi. Imankan masih di Cameron. Kalau tak silap baru hari ni dia balik KL. Lagipun saya rasa biar mereka tahu sendirilah. Abang tengok mereka berdua tu pun macam tak kisah aja hal masing-masing. Danish ke sana. Iman ke situ. Entah ya entah tak mereka tu masih suami isteri," omel Dato’ Arif. Dia bosan kerana sering ditanya hal yang sama oleh isterinya. Matanya masih tunak membaca akhbar.

"Ada ke abang cakap macam tu. Macam suka aja mereka tu bercerai-berai," rajuk Datin Hajar. Dia pantang benar kalau isu kemungkinan Iman itu bukan lagi menantunya dibangkitkan.

"Abang bukan mendoakanlah, Jar. Abang pun tak nak mereka tu bercerai-berai. Bukan Hajar sorang yang sayangkan Iman tu. Abang pun dah sayangkan Iman tu macam anak sendiri. Dah banyak jasa dia pada kita ni. Anak kita sendiri pun tak ada layan kita macam mana Iman tu layan kita ni. Tapi Hajar tengoklah anak awak tu sejak dia balik sini, ada Si Danish tu tanya pada kita hal isteri dia. Ada dia tanya khabar Si Iman tu?" Dato’ Arif memandang serius wajah isterinya di sebelah.

"Betul juga kata abang tu. Danish langsung macam tak kisah pasal Si Iman tu. Agaknya Danish belum dapat menerima Iman lagi tak?" Giliran Datin Hajar bertanya kepada suaminya. Suram wajahnya. Benar juga kata suaminya itu.

"Yalah agaknya. Salah kita juga. Dulu masa mereka mula-mula kahwin kita bukan nak rapatkan mereka malah kita lagi suka kalau mereka berpisah. Si Danish tu pun awak racun fikiran dia yang bukan-bukan pasal Iman," sela Dato’ Arif. Dia kesal dengan apa yang pernah dilakukannya dahulu.

"Eh, abang ni nak salahkan Hajar pula. Jangan nak salahkan saya sorang aja. Awak pun sama juga. Dulu awak pun ada racun Si Danish tu. Lupa? Hm... tapikan bang, Hajar rasa Hajar tahu nak buat apa. Iman tukan taat pada kita. Nanti Hajar pujuk dia supaya berbaik-baik dengan Danish. Abang tengoklah nanti rancangan Hajar nak rapatkan mereka mesti berjaya punya." Senyuman Datin Hajar semakin melebar. Otaknya merencana pelbagai jalan untuk menyatukan dua jiwa itu. Arrisya perlu dihubungi segera. Anak sulungnya itu pasti boleh membantu menjalankan rencananya.

"Suka hati awaklah, Hajar. Jangan makin parah sudahlah. Menantu awak tu laku orangnya. Berebut orang nak buat Si Iman tu jadi menantu. Asal Hajar ingat itu sudahlah. Pasal Danish, Hajar tak perlulah bimbang. Tahulah abang nak uruskan macam mana nanti," ingat Dato’ Arif. Jauh di sudut hatinya mengharapkan rancangan isterinya itu berjaya.



"ASSALAMUALAIKUM. Risya, mama ni." Tanpa membuang masa Datin Hajar terus menghubungi anak sulungnya. Anak sulungnya itu diperlukan dalam misinya ini. Dengan bantuan daripada Arrisya tentu lebih mudah untuknya mempengaruhi Iman.

"Waalaikumusalam, mama. Mama sihat?" Arrisya yang tahu Datin Hajar menelefonnya itu bertanya khabar. Pasti mamanya menyuruh dia membawa Jehan pulang hari ini. Bukan Arrisya tidak tahu setiap kali mamanya menelefon adalah kerana rindukan cucunya yang seorang itu.

"Sihat. Risya sihat? Cucu mama macam mana?" Datin Hajar tidak lupa bertanya perihal anak dan cucunya itu. Itulah satu-satu cucu dia buat masa ini. Pengubat kesunyiannya suami isteri.

"Sihat mama. Cucu mama pun sihat. Semakin nakal. Hujung minggu ni Risya bawa Jehan balik. Mama telefon ni sebab rindukan Jehan ya?" usik Arrisya. Kadang-kadang Arrisya kasihan melihat orang tuanya itu. Pasti papa dan mamanya kesunyian. Nak harapkan anak, mereka masing-masing sibuk dengan kerja. Nak harapkan cucu Jehan seorang itu sahajalah cucunya.

"Mama memang rindukan Jehan. Mama telefon ni sebenarnya nak minta tolong Risya." Datin Hajar terus mengutarakan hajatnya.

"Minta tolong apa, ma? Mama sakit ke?" Gusar pula perasaan Arrisya. Jarang mamanya meminta tolong.

"Eh, taklah. Mama nak minta tolong Arrisya pasal Iman dan Danish. Mama risaulah, Arrisya. Mereka tu langsung tak macam suami isteri. Sorang ke hulu sorang ke hilir. Danish tu sejak balik langsung tak bertanya hal Iman. Tak faham mama. Suami macam mana tu. Langsung tak tanya khabar isteri," omel Datin Hajar.
Arrisya di hujung talian tersengih.

Dahulu setahun dia bersama Iman di Liverpool, sudah tiada rahsia antara Iman dengannya. Hal kontrak pernikahan Iman dan Danish pun dia tahu. Jadi Arrisya langsung tidak terkejut kalau Danish dan Iman seperti orang asing. Suami isterikah mereka kalau ikatan itu hanya berpegang pada sekeping kertas yang langsung tidak bermakna pada Danish. Bagaimana hendak selesaikan kalau kedua-duanya menjunjung ego.

"Biarlah, mama. Dia orang berdua tu dah besar panjang, ma. Dua-dua dah boleh jadi mak bapak orang. Biarlah mereka selesaikan sendiri." Arrisya bukan tidak mahu bekerjasama tetapi dia malas hendak masuk campur. Baginya biarlah Iman mencari kebahagiaan sendiri. Dia tidak sanggup melihat gadis itu terus menderita.

"Sebab dah besar panjanglah mama nak ajak Arrisya tolong satukan mereka. Arrisya nak ke kalau Iman tu keluar dari keluarga kita. Kalau jodoh mereka tak panjang kemudian Iman kahwin lain macam mana? Kalau suaminya tak kisah Iman tu rapat dengan kita tak apa. Kalau suami barunya nanti tak suka lepas tu dikongkongnya Iman tu tak ke aniaya. Arrisya nak Iman pergi dari keluarga ni ke?" provok Datin Hajar. Dia memang awal-awal lagi sudah bersedia dengan hujahnya yang panjang lebar itu. Walaupun agak termengah namun demi meyakinkan anak perempuannya itu, Datin Hajar gagahkan juga.
Arrisay terdiam memikirkan kata-kata mamanya. Benar juga kata Datin Hajar itu.

"Mama, Risya yakin Iman tu tetap rapat dengan kita walau apa pun yang terjadi. Risya kenal Iman tu macam mana orangnya." Arrisya cuba memujuk hati mamanya sekali gus cuba untuk melegakan hatinya sendiri.

"Itu mama tahu, Risya. Tapi perempuan ni kalau dah ada suami mesti lebih utamakan suami dia dulu. Lagi-lagi Iman tu budak baik. Taat orangnya," balas Datin Hajar lagi. Dia sedaya mungkin cuba memujuk Arrisya menyertai pakatannya.

"Habis tu mama nak buat apa? Nak suruh Risya buat apa?" Akhirnya Arrisya mengalah. Termakan juga dengan pujuk rayu mamanya.

Datin Hajar tersenyum menang. Di benaknya telah merencana pelbagai rancangan untuk menyatukan kembali hubungan Danish dan Iman.

"Malam ni Risya datang rumah mama. Kita bincang. Mama rasa kita perlu rancang sesuatu untuk tolong mereka." Datin Hajar mengajak Arrisya ke rumah untuk berbincang. Bagai satu pakatan besarlah pula.

"Baiklah, mama. Pukul berapa mama nak Risya balik?" Arrisya hanya menurut perintah. Dia rasa tidak salah menolong mamanya. Bukan rancangan jahat pun. Rancangan untuk mengukuhkan lagi masjid yang terbina. Harapnya berjayalah rancangan ini. Biarlah kali ini keluarga mereka pula memberi sedikit kebahagiaan buat Iman.

"Risya datanglah lepas maghrib. Makan malam kat sini terus. Bawa Jehan sekali. Mama rindu sangat dengan dia." Datin Hajar memberi kata putus.

"Baiklah mama. Dalam pukul lapan Risya sampai. Assalamualaikum." Arrisya bersetuju. Dia memberi salam sebelum memutuskan talian.

0 comments:

Post a Comment