Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 11

Bab 11

IMAN tiba di hadapan rumah sewa Danish yang berhampiran London University berpandukan alamat yang diberi oleh Arrisya tadi. Arrisya terkejut bukan kepalang apabila mengetahui Iman tidak pernah bertemu dengan Danish sepanjang dia belajar di sini. Dia mengharapkan alamat yang diberi betul. Besar juga harapannya Danish ada di rumah.

Tangan Iman mengetuk pintu rumah yang berwarna putih. Sejenak kemudian pintu terbuka dari dalam. Muncul seorang lelaki. Agaknya ini rakan serumah Danish.

"Hello… errr... hai. Ini rumah Danish, kan? Dia ada tak? Boleh saya jumpa dengan dia?" Iman bertanya pada pemuda yang membuka pintu itu. Kelihatan seperti orang Malaysia.

"Ini Iman, kan?"

Wajah Iman berkerut memandang si pemuda. Bagaimana jejaka itu tahu namanya.

"I Amran. Housemate Danish. Danish ada kat dalam. Bilik paling hujung yang ada tanda Do Not Disturb kat pintu tu. You masuklah. I nak keluar sebenarnya ni." Amran memberi ruang sedikit untuk Iman melangkah masuk.

"Thanks Amran." Iman memberi senyum manis pada Amran. Nampaknya lelaki itu seperti lelaki yang baik.

"No thanks. By the way, takziah pasal keluarga you. I harap you both kuat terima dugaan ni. I pergi dulu. Bye. Assalamualaikum."

Iman tidak sempat bertanya apa-apa. Amran sudah berlalu pergi. Nampak tergesa-gesa. Ada temu janjilah tu. Iman hanya menjawab salam Amran di dalam hati.
Iman melangkah masuk. Dia nampak pintu bilik yang dikatakan oleh Amran tadi. Baru sahaja Iman mengangkat tangan ingin mengetuk pintu terbuka dari dalam. Kelihatan seorang perempuan yang lagaknya baru bangun tidur tersembul di hadapan pintu.

Iman terpana. Dia nyata terkejut. Dia tidak sangka akan bertemu dengan seorang gadis di dalam bilik suaminya. Perkara sebegini adalah perkara terakhir yang dia inginkan di dalam hidupnya.
Iman memerhati wajah gadis di hadapannya. Iman ingat wajah itu. Maya... ya perempuan di hadapannya ini Maya.

"Ini bilik Danish ke?" Iman memberanikan diri bertanya. Maya yang hanya memakai T-shirt paras lutut itu tersenyum sinis padanya.

"Ya. Ini bilik Danish. Boyfriend aku. Kau nak apa cari dia? Kalau ada apa-apa kau boleh tinggalkan pesan pada aku. Dia tengah tidur." Maya memang berlagak. Tidak sedarkah dia di hadapannya ini adalah isteri Danish. Lelaki yang dia mengaku sebagai kekasih.

Maya tersenyum sinis. Hatinya gembira melihat riak wajah Iman berubah sama sekali. Maya hanya menumpang tidur di bilik Danish kerana tertinggal kunci dan kawan serumahnya pula tidak pulang. Terpaksalah dia ke rumah sepupunya ini menumpang tidur. Memandangkan dia sampai pun sudah hampir subuh, Danish menyuruhnya tidur di dalam bilik dan lelaki itu menghabiskan masa menelaah di ruang tamu. Tidak sangka pula pagi ini ada kejutan buatnya. Iman kini berada di hadapannya. Dia gembira.

Dia kenal Iman. Dia tidak akan lupa wajah nan satu ini. Masakan dia lupa gadis yang sudah memiliki Danish. Gadis yang berjaya membina tembok antara dia dan Danish.

Iman menarik nafas sedalam mungkin. Otaknya dipaksa memikirkan perkara yang positif. Cuba menidakkan bahawa suaminya sudah jauh terlanjur dengan gadis di hadapannya ini. Walaupun naif kedengarannya tetapi Iman memaksa dirinya percaya yang dua insan itu hanya tidur bersama dan tidak berlaku apa-apa keintiman antara Danish dan Maya. Jauh di sudut hati dia menidakkan apa yang berlegar di mindanya. Tidak mungkin seorang perempuan dan seorang lelaki yang tidur sebilik tidak melakukan apa-apa. Ada kalanya lebih baik kita tidak tahu daripada kita tahu tetapi menyakitkan hati. Seperti yang berlaku padanya kini.

"Tolong cakap dengan dia yang keluarganya perlukan dia di Malaysia dan Arrisya ada bersama saya sekarang. Esok kami akan bergerak ke Liverpool. Okeylah, saya balik dulu. Kirim salam pada dia."

Iman melangkah pergi. Dia ingin cepat-cepat keluar dari rumah ini. Dia tidak mampu untuk bertahan lama di sini. Cukuplah dia terserempak dengan Maya. Iman tidak mahu melihat wajah Danish pula. Kalaulah dia bersua dengan Danish bagaimana agaknya ekspresi wajahnya. Marah atau menangis? Jadi cukuplah dengan apa yang telah terjadi sekali itu.

Kini hatinya sakit yang amat. Perasaannya hancur lumat. Dia menganggap dirinya bodoh kerana masih mengharapkan Danish setia padanya. Hatinya bertambah sakit tatkala terkenangkan saban hari dia menunggu Danish pulang untuk membantunya di Malaysia. Dia risaukan keadaan Danish. Sedangkan suaminya itu bergembira di sini di samping kekasih tersayang. Hanya dia yang bodoh risaukan Danish. Lelaki itu sekelumit tidak punya perasaan kasihan atau sayang padanya.



MALAM itu Iman menghabiskan masa dengan menangis dan menangis. Abangnya dan Mama Sue yang kerisauan langsung tidak dipedulikan. Iman menimbang balik kesilapan diri. Melihat balik kelemahan diri. Iman sedar satu perkara. Dia terlalu mudah dibuli oleh Danish. Kenapa? Kerana dia amat mengharapkan Danish. Kerana dia mengharapkan sesuatu daripada pernikahan ini. Walaupun pernikahannya terjalin atas dasar paksaan namun dia masih mengharapkan sesuatu yang manis. Dia tetap memasang angan-angan untuk hidup bahagia di samping Danish.

Oleh sebab terlalu memasang angan yang melaut maka inilah bahana yang dirasainya kini. Dia terlalu mengharap sehingga dia membuta tuli mempercayai Danish. Mulai hari ini Iman perlu sedar. Antara dia dan Danish tidak akan ada perhubungan yang berbungakan sayang. Hati lelaki itu telah dimiliki dan dia bukan pemilik hati itu.

0 comments:

Post a Comment