Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 19

Bab 19

IMAN termenung di balkoni kondominium miliknya. Sengaja dia meminta Hakim menghantarnya pulang selepas makan tengah hari tadi. Sesungguhnya dia tidak ada mood untuk ke pejabat. Kehadiran Danish benar-benar mengganggu ketenteramannya. Lebih baik dia balik daripada membuang masa di pejabat. Bukannya dia boleh membuat apa kerja pun. Zila dan Zahlia sudah diberitahu tentang cutinya. Memikirkan kembali tentang kepulangan Danish, Iman hanya ada enam bulan lagi untuk terus hidup dalam keluarga Dato’ Arif dan Datin Hajar. Dia perlu memikirkan cara bagaimana untuk keluar dari keluarga itu tanpa menyakiti hati sesiapa.

Hati... Iman bertanya pada hatinya. Sanggupkah hatinya ini meninggalkan segala yang dimilikinya sejak tiga tahun ini? Iman tahu bukan mudah untuk ibu bapa mentua menerimanya. Jika tidak kerana kemalangan dahulu dan jika tidak kerana rasa terhutang budi pada dirinya mungkin ibu dan bapa mentuanya itu masih belum boleh menerimanya seperti sekarang. Iman sedar Dato’ Arif dan Datin Hajar mula berbaik dengannya setelah kemalangan itu terjadi. Itu pun atas budinya membantu memberi semangat di kala keluarga itu memerlukan seseorang untuk terus menyokong agar mereka boleh berdiri. Kalau tidak disebabkan itu mungkin kedinginan masih membalut hubungan mereka. Dia tidak kisah itu. Dia tahu kedua–dua tua itu menyayanginya. Sekarang dia terpaksa pergi dari lingkungan kasih mereka. Sanggupkah dia meninggalkan kebaikan mereka?

Ini semua untuk kebahagiaan keluarga itu. Dato’ Arif dan Datin Hajar lebih perlukan Danish, anak mereka daripada dia yang hanya bergelar menantu. Danish... lelaki itu sudah banyak berubah dan lelaki itu mula bercakap dengannya. Tetapi itu semua tidak menyentuh hatinya. Hati Iman sudah terlalu beku. Dahulu sejujurnya dia pernah mengharapkan Danish menjadi raja hidupnya. Mengharapkan Danish memberi pelangi bahagia lantas dia akan memberikan kesetiaan. Lalu Iman mengharapkan masa akan menyatukan mereka seperti kisah dalam novel yang dibacanya.

Novel, dahulu Iman suka membaca novel. Itu membuatkan Iman memasang angan-angan untuk bahagia di samping Danish. Novel yang mengganggu kewarasan Iman sehingga menerima pernikahan ini. Novel yang membuatkan dia terus berfantasi. Kahwin paksa kemudiannya si suami jatuh cinta kerana kelembutan dan kesabaran si isteri dan akhirnya hidup bahagia. Betapa bodoh dirinya mempercayai itu semua. Dia sendiri cuba berbaik. Cuba sabar dengan Danish sebaik selepas mereka bernikah. Dia cuba meyakinkan dirinya sebagai isteri Danish dan Danish akan jatuh cinta padanya. Tetapi kemesraan Danish bersama Maya membuatkan Iman sedar dirinya silap.

Kini Iman sedar ini adalah dunia yang nyata. Bukan novel. Bukan drama. Tidak mudah untuk menyemai cinta antara dua hati. Tidak mudah untuk seseorang itu jatuh cinta. Cinta... cinta memang tidak pernah wujud di antara mereka. Siapa yang akan mencintai jika penyatuan atas dasar paksaan. Siapa akan jatuh cinta jika masa sentiasa memisahkan mereka. Siapa yang akan jatuh cinta jika jarak sentiasa menjauhkan mereka. Orang yang berkawan bertahun pun belum tentu akan saling jatuh cinta. Inikan apa yang terjadi di dalam kes dia dan Danish. Lagilah mustahil. Tidak mudah untuk membenihkan cinta di dalam dua hati. Beratus kesabaran, beribu kebaikan malah berjuta kesetiaan sekalipun belum tentu boleh mencambahkan cinta di hati seseorang. Satu yang pasti ialah rasa terhutang budi. Iman tidak mahu sayang itu hadir kerana budi. Jadi Iman pasti hanya satu yang ada pada mereka hanyalah jodoh.

Jodoh... ya jodoh yang masih kuat membuatkan dirinya masih bergelar isteri Danish sehingga saat ini. Jodoh yang membuatnya bernikah dengan Danish atas dasar budi yang ditabur dan tidak ketinggalan angan percintaan ala novel yang pernah diidamkan dahulu. Jodoh yang menyebabkan Danish menerimanya kerana harta. Ahhh... baru hari ini Iman sedar yang dia dan Danish bersatu atas dua sebab yang berbeza yang membuatkan dia dan Danish jauh pada hari ini dan akan jauh untuk selama-lamanya. Esok Iman akan berhadapan dengan Danish lagi. Bukan hanya untuk esok tetapi untuk setiap hari dalam tempoh enam bulan ini. Iman sudah tidak boleh lari lagi. Suka atau tidak dia perlu berhadapan dengan semua ini. Iman perlu belajar menerima Danish dalam hidupnya untuk enam bulan ini. Iman perlu belajar membiasakan diri dengan Danish di pejabat. Bagaimana atau apa caranya terpulanglah pada dirinya sendiri untuk memikirkan hal itu.

0 comments:

Post a Comment