Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 20

Bab 20

"TERMENUNG lagi." Amran sengaja mengejutkan Danish dari belakang. Malam ini Danish mengajaknya lepak di kondo milik Danish. Amran pantas bersetuju dengan ajakan itu apabila memikirkan isterinya bekerja syif malam.

Isteri Amran, Wati juga merupakan seorang doktor sepertinya. Mungkin kerana profesion yang sama membuatkan dia tidak kisah tentang aturan waktu kerja isterinya. Cuma yang merisaukan sekarang adalah keadaan isterinya yang berbadan dua. Anak pertama pula. Setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga barulah mereka dikurniakan cahaya mata.

"Aku tak tahulah, Am. Aku sakit hati sangat hari ini. Cuba kau bayangkan pagi-pagi lagi aku jumpa lelaki lain dalam pejabat dia. Tapi tak apalah Hilmi tu satu pejabat. Lagipun lelaki tu dah ada anak bini. Aku tak berapa nak kisah la sangat. Itu dah satu hal. Lepas tu tengah hari dengan selamba pula dia pergi makan dengan lelaki lain pula. Mahu tak pecah dada aku ni, Am. Dia isteri aku, Am." Untuk kali entah keberapa Danish mengadu. Sampai sahaja Amran di kondo ini petang tadi dia sudah mendengar cerita yang sama dari mulut Danish. Ingin sahaja dia menempelak Danish tetapi tidak sampai hati pula apabila melihat wajah Danish seperti tertelan biji durian itu.

"Dahlah tu, Danish. Kau ni janganlah fikirkan sangat. Kan Iman dah kata lelaki yang keluar makan dengan dia itu kawan dia. Aku rasa Iman tahu kedudukan dia sebagai isteri kau. Kalau dia nak buat hal. Dari dulu lagi dia dah buat. Kalau tengok keadaan hubungan kau dengan dia. Tak ada masalah dia nak minta taklik dari kau. Berapa tahun kau biar dia hidup sorang di Malaysia ni." Akhirnya Amran cuba berdiplomasi dengan Danish. Cuba membuat Danish berfikir.

"Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Mahu sahaja Amran ketawa. Danish bercakap seperti dia pernah menghargai Iman. Amran tahu Danish sayangkan Iman tetapi Amran juga tahu, Danish tidak pernah mahu menunjukkan kasih sayang itu pada Iman. Harus bagaimana untuk Iman menghargai Danish? Jadi dalam masalah ini Danish tidak boleh menyalahkan Iman seratus peratus.

"Danish. Danish. Aku nak tanya kau. Sebelum ni kau pernah ke hargai Iman? Kau biarkan dia sendiri kat sini dan kau pula nun kat London. Sebenarnya aku ni terkejut bila tahu Iman tu masih begelar isteri kau. Kalau perempuan lain dah lama kau dapat surat dari mahkamah rasanya. Kau sendiri tak pernah nak hargai dia tapi nak diri kau dihargai. Itu tak adil namanya."

Mahu tak mahu Amran terpaksa juga menempelak Danish. Biar sahabatnya itu tersedar sedikit dari lamunannya.

Dulu bukan dia tak pernah menasihati Danish. Dah berbuih mulutnya menyuruh Danish balik ke Malaysia memperbaiki hubungannya dengan Iman. Tetapi Danish degil. Kononnya hendak kejar pengalaman di negara orang. Tidak faham betul Amran. Sekarang ini Danish hendak marah pula.

"Aku sayang dia, Am. Kau tahukan selama ni walau aku jauh daripada dia tapi aku setia pada dia...." Lirih nada Danish mengakui kasihnya buat Iman. Ya, memang dia silap kerana membiarkan Iman jauh daripada dia selama ini. Tetapi itu bukan alasan untuk Iman memperlakukannya sebegini. Itu telahan Danish.

Amran tersenyum. Benarlah cinta boleh membuatkan seseorang itu lemah. Lihatlah Danish di hadapannya ini bercakap seperti remaja yang baru menyemai cinta. Langsung tidak matang.

"Aku tahu kau sayangkan dia, tapi Iman tahu tak yang kau cintakan dia. Kau sendiri tak pernah nak tunjukkan kasih sayang kau pada dia. Macam mana Iman nak tahu yang kau sayangkan dia. Iman gadis biasa, Danish. Tentu saja ingin disayangi. Kau tak boleh salahkan dia juga. Sekarang kau perlu tunjukkan kasih sayang kau pada dia. Berikan dia keyakinan. Insya-Allah, kalau dia jodoh kau hingga ke akhir tak ke mana perginya Iman tu. Kau sendiri kata pada aku dulu yang kau yakin Iman tu sayangkan kau, kan?" ujar Amran bernas. Kalau dengan orang sedang angau ini kena betul caranya untuk memberikan pendapat.

Kata-kata Amran itu Danish terima dengan hati yang terbuka. Ada benarnya hujah kawan baiknya itu. Bukan ada benarnya tetapi seratus peratus kebenarannya. Ya, Danish tidak boleh salahkan Iman sahaja. Dia juga turut bersalah dalam hal ini. Sekarang dia perlu pujuk Iman dan buktikan pada Iman yang dia cintakan isterinya itu.

0 comments:

Post a Comment