Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 18

Bab 18

HAKIM memberi senyuman tulus kepada Zila pembantu Iman yang berselisih dengannya di hadapan pejabat Iman. Kehadirannya sudah menjadi satu kebiasaan di situ. Setiap pekerja di situ telah mengenalinya. Hakim sudah beberapa kali datang ke pejabat Iman. Dia ingin mengajak Iman makan tengah hari. Kadangkala ada juga Hakim menjemput Iman balik. Dengan keramahan doktor muda itu pasti disenangi oleh pekerja bawahan Iman.

"Assalamualaikum. Busy ke?" Hakim muncul di sebalik pintu apabila ketukannya disambut dengan arahan masuk. Dahulu dia jarang mengetuk pintu namun setelah kejadian dia menerjah masuk ketika Iman ada tetamu, Hakim tidak pernah lupa untuk mengetuk pintu. Tanpa perlu dipelawa Hakim segera duduk berhadapan dengan Iman.

"Waalaikumusalam. Taklah sibuk sangat. You nak minum apa-apa ke?" pelawa Iman. Menawarkan minuman buat tetamunya.

"No. Thanks. I datang ni nak ajak you lunch."

"Okey. Tapi you kena tunggu sekejap. I nak kemas barang dulu. Kita pergi berdua aje ke? Kak Risya mana?"

"Hmmm... dia tunggu kita kat butik. I ni pun dari butik tadi. Nak ajak you kenalah jemput you. Kalau suruh you ambil teksi alamatnya kebulurlah kami nanti," seloroh Hakim. Tahu fobia ataupun post trauma Iman selepas kemalangan itu.

"Oh... you mengata I. You tak kerja ke? Asyik berkepit aja dengan akak I tu?" Iman pula mengusik. Dia gembira kerana akhirnya Arrisya bertemu pengganti arwah Abang Johan. Dia akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Arrisya.

Iman tahu benar kemesraan antara dua sejoli itu. Rasanya tidak lama lagi rumah agam Dato’ Arif akan ada majlis pernikahan. Hakim memang serius sayangkan Arrisya dan dia tahu Hakim boleh menjaga Arrisya dengan baik. Syukur juga kerana keluarga Hakim boleh menerima keadaan Arrisya yang berstatus janda beranak satu itu. Jehan pun mesra dengan Hakim malah memanggil Hakim dengan panggilan abah.

"Balas dendam nampak." Hakim membalas usikan Iman. Hakim tersengih mendengar usikan Iman itu. Iman memang suka mengusiknya dan Arrisya. Ada sahaja modal gadis itu kalau bab menyakat mereka.

Mendengar balasan daripada Hakim, Iman tersengih. Dia mengangkat kening tanda menang. Akhirnya ketawa mereka berdua meletus serentak. Meriah suasana di dalam bilik Iman.

"I on call. You pun cepatlah sikit. I lapar ni," gesa Hakim. Sebagai seorang doktor waktu kerja Hakim sememangnya tidak menentu.

"Sekejaplah. I kemas barang sekejap. Youlah dari tadi ajak I berbual," usik Iman lagi.

Hakim hanya menggeleng sambil ketawa kecil dengan lagak Iman. Kadangkala Iman seperti budak-budak perangainya. Hakim sudah masak benar hal itu.

Iman mengemas harta bendanya. Segala yang penting dimasukkan ke dalam beg tangan.

"Dah siap. Jom," ajak Iman. Dia tidak mahu Arrisya lama menanti mereka nanti. Pantas Iman berdiri diikuti Hakim.

Serentak itu pintu yang memang terbuka dari tadi diketuk perlahan. Tersembul wajah Danish.

"Hai. I datang salah masa ke?" Nada Danish itu seakan menyindir tatkala melihat wajah kedua-duanya terpaku. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

"Hmmm... ya. Kami baru nak pergi lunch. Anything? Better make it very fast. I dah nak keluar ni," tanya Iman penuh formaliti. Langsung tidak ada perasaan. Iman memang tiada perasaan kalau di hadapannya itu lelaki yang bernama Danish.

"Nothing. Saja nak pulangkan mug you. Thanks for the Milo. By the way, who is he? Our client?" tanya Danish sambil matanya tunak memandang wajah Hakim. Matanya memandang seolah-olah Hakim adalah pesaingnya.

Danish lebih berminat pada Hakim di saat ini. Hatinya sakit dan cemburunya sudah memuncak. Hanya ego yang menjadi tunggak kewarasannya sekarang untuk tidak melakukan sesuatu di luar batas. Sebenarnya tawa Iman dan Hakim tadi telah mengundangnya ke mari dan mug itu hanyalah alasan.

"Hakim, ni Encik Aiman Danish, CEO baru syarikat ini. Hakim, kenalkan Encik Aiman. Doktor Hakim kawan saya." Iman tanpa ada rasa bersalah memperkenalkan kedua-duanya. Iman pasti Danish tidak kisah. Siapalah dia di dalam hidup Danish. Dia bukan Maya.

Hakim menghulurkan tangan dan dapat merasakan huluran tangannya disambut dingin oleh Danish. Mungkin Danish sudah salah faham dari cara Iman memperkenalkannya tadi. Hakim tahu siapa Danish. Dia juga tahu status Danish dan Iman. Tahu kisah Danish dan Iman. Dengan status Danish sebagai suami pada Iman pasti salah faham berlaku memandangkan cara Iman memperkenalkan mereka tadi.
"Kalau tak ada apa-apa lagi kami minta diri dulu, Encik Aiman. Jom Hakim." Tidak sabar Iman meminta diri. Selamba dia mengajak Hakim dengan mesra. Danish sendiri pula tidak menghalang hanya mengangguk. Dia hanya melihat isterinya keluar dengan lelaki lain. Terasa dayus pula dirinya. Namun apa boleh dilakukan? Kenyataannya dia dan Iman bukan seperti pasangan lain.

Iman menarik nafas lega setelah sampai di lif. Matanya merenung pintu lif. Fokus. Seolah-olah mencari keyakinan apa yang baru berlaku dan akan terjadi. Bergetar kuat jantungnya saat berjalan melintasi Danish tadi. Iman perasan padangan mata Danish seperti ingin menelannya. Walaupun Danish mengangguk seperti membenarkan namun Iman boleh merasakan aura kemarahan Danish. Kalau benar telahannya untuk apa Danish marah? Itu hak dia untuk keluar dengan sesiapa yang dia suka. Namun jauh di sudut hatinya terasa sedih kerana Danish tidak menghalangnya malah melepaskan dirinya pergi bersama lelaki lain.

Hakim hanya membiarkan Iman dengan dunianya sendiri. Dia tahu hati Iman berkocak hebat. Hakim juga yakin saat ini Danish tidak akan duduk diam. Mereka sebenarnya masih saling menyayangi tetapi tidak mahu menunjukkan perasaan sayang itu. Benar kata Arrisya, Danish dan Iman masing-masing menjunjung ego sendiri, masing-masing masih berperang dengan perasaan sendiri.



DANISH kembali ke pejabatnya. Pintu dihempas kasar. Sekarang waktu tengah hari namun seleranya sudah mati. Awal pagi tadi dia sudah berniat untuk mengajak Iman keluar makan tengah hari bersama tetapi niat itu hanya tinggal niat apabila isterinya itu dengan selamba sahaja keluar makan dengan lelaki lain. Sungguh, kini Danish merasakan dirinya bak makan hati berulam jantung. Danish sakit hati dengan lagak mesra Iman bersama Hakim. Kalaulah dia boleh meluahkan rasa sakitnya ini mahu terbalik dunia ini.
Dummm!

Sebiji tumbukan dilepaskan ke atas meja kerjanya. Satu keluhan kasar terluah sebelum Danish melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk. Bagai terngiang-ngiang di telinga Danish tadi bagaimana Iman memperkenalkan dirinya. Dia hanya diperkenalkan sebagai CEO.

Dia harus bersemuka dengan Iman. Petang ini juga dia akan bersemuka dengan Iman. Sebelum itu dia akan menyelidik siapa Hakim. Doktor Hakim?



ZAHLIA masuk sambil menatang secawan teh untuk Danish. Itu memang rutinnya sejak Danish bekerja di sini seminggu yang lalu. Setiap kali selepas makan tengah hari dia perlu menyiapkan minuman buat Danish. Hanya satu yang Zahlia perasan hari ini. Dia perasan Danish tidak keluar sejak dia meminta kebenaran untuk pergi lunch tadi. Ada khabar angin menyatakan Danish bergaduh dengan Iman sehingga lelaki itu menghempas pintu siang tadi. Itu cerita daripada beberapa kakitangan yang tidak keluar makan tengah hari. Telah muncul gosip hangat di jabatan itu yang berbicara tentang Danish dan Iman. Kata mereka, bos baru mereka itu cemburu Iman keluar makan dengan Hakim. Cemburu sampai tidak keluar makan tengah hari. Hah... mulut orang bukan boleh percaya sangat.

"Encik, ini airnya. Encik nak apa-apa lagi ke?" tanya Zahlia berbasa basi. Wajah serius Danish membuatkan Zahlia cuak untuk bertanya.

"Tak. Awak boleh keluar!" Nada Danish yang begitu tegas menakutkan Zahlia.

Alamak, angin monsun bosnya bertiup agaknya. Tanpa pamitan Zahlia ingin keluar. Dia kan baru kena halau. Bimbang kalau berlama-lama di situ angin monsun Danish akan mengenai dirinya. Zahlia tidak mahu menempah bala percuma.

"Hm... Zahlia, tunggu sekejap. Saya nak tanya awak sesuatu." Danish mengangkat muka memandang Zahlia. Wajah takut-takut Zahlia dipandang.

"Ya, Encik."

"Hakim... I mean Doktor Hakim. Awak kenal dia?" tanya Danish. Danish ingin mengorek daripada Zahlia. Ingin tahu kebiasaan Hakim datang ke sini bertemu Iman. Danish yakin tadi bukan kali pertama Hakim datang ke Wisma Mega untuk bertemu Iman.

"Oh... Doktor Hakim. Kenal. Rasanya semua pekerja kat divison ini kenal Doktor Hakim. Dia kawan Cik Iman," jawab Zahlia jujur. Kala ini otaknya memikirkan kebenaran gosip yang didengarnya tadi. Betul agaknya gosip itu kalau tidak takkan Danish bertanya tentang Doktor Hakim padanya.

" Jadi Hakim selalu datang sinilah?" Jawapan Zahlia tadi mengundang sesak di dada Danish. Bertambah darjah cemburunya.

"Hmmm... tak selalu, tapi selalulah juga."

"Macam mana ni? Tak selalu tapi selalu?"

"Eh... macam ni Encik Aiman. Dulu jaranglah juga. Tapi selepas Cik Iman kemalangan Doktor Hakim selalu juga hantar dan ambil Cik Iman. Kadang-kadang keluar makan. Cik Iman agaknya masih trauma sejak kemalangan tu sebab tu Cik Iman tak memandu. Kalau tak ada Doktor Hakim pun Cik Iman naik teksi. Kalau tak pun Puan Arrisya yang hantar dan ambil dia. Doktor Hakim tu baik orangnya." Zahlia menjelaskan lagi kedudukan sebenar.

"Hmmm... okey. Awak ada nombor handset dan alamat Iman sekarang? Saya nak."

Danish sudah tidak sanggup mendengar cerita Iman dan Hakim. Dia pantas bertanya tentang alamat dan nombor telefon Iman kerana maklumat itu dibiarkan kosong di dalam borang butir peribadi pekerja milik Iman.

Pertanyaan itu membuatkan Zahlia tersenyum.

"Ada, tapi Cik Iman ada dua. Satu nombor handset khas untuk urusan pejabat dan satu cuma untuk famili dia. Nanti saya bagi encik nombor yang dia guna untuk business. Tapi kalau dia cuti dia jarang on nombor tu. Kalau nombor satu lagi tu saya tak beranilah nak bagi, Encik Aiman. Takut Cik Iman marah nanti." Zahlia awal-awal lagi memaklumkan perkara itu kepada Danish. Wajah Zahlia jelas serba salah.

"Awak bagilah dua-dua. Susah saya nak cari nanti kalau ada apa-apa. Sekejap lagi saya pergi cakap dengan dia sendiri. Kenapalah ada peraturan nombor untuk business dengan keluarga macam tu. Menyusahkan aja," omel Danish.

"Biasalah, Encik Aiman. Cik Iman tu banyak peminat. Kadang-kadang dapat juga kami merasa bunga dan coklat free daripada Cik Iman. Daripada peminat dia, tapi Cik Iman selalunya bagi sama rata kalau tak pun buat hiasan bilik mesyuarat. Cik Imankan baik, Encik Aiman." Lancar mulut Zahlia bercerita. Tanpa sedar cerita Zahlia membuat Danish menahan nafas. Cemburu dan merasa tergugat. Rupa-rupanya banyak kumbang yang sedang mengintai bunganya itu.

"Baik pun nak buat apa? Dia tu dah jadi hak orang. Iman mana? Dia dah masuk pejabat belum? Awak keluar ni tolong panggil dia," tegas suara Danish. Nampaknya angin monsun sudah kembali bertiup.

"Cik Iman tak ada. Dia tak masuk petang ni. Cik Iman cuti setengah hari ni. Kalau Encik nak cari dia sekejap lagi saya bagi nombor telefon dia." Takut-takut Zahlia memberitahu.

"Dia cuti?" Tinggi suara Danish mengejutkan Zahlia.

"Ya. Cik Iman telefon kata dia cuti tadi." Cepat sahaja Zahlia mengemukakan fakta tentang cuti Iman. Takut dirinya dimarahi.

"Okey. Tak apa. Awak ambil nombor dia sekarang."

Tergesa-gesa Zahlia melaksanakan arahan Danish. Takut kena marah. Sekejap sahaja mood Danish sudah berubah. Sekejap baik sekejap monsun. Hmmm... beginilah nasib jadi kuli.

0 comments:

Post a Comment