Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 10

Bab 10

DATIN HAJAR memandang gelapnya langit malam dari dalam biliknya. Kelihatan Dato’ Arif nyenyak di peraduan. Siang tadi mereka menghantar Iman dan Arrisya ke lapangan terbang. Iman kembali ke England untuk menyambung pengajian. Arrisya pula mengikut Iman untuk bercuti. Menghantar Iman pergi bagaikan hilang tangan kanannya. Selama tiga bulan Iman ada di sampingnya. Sekarang gadis itu telah jauh. Datin Hajar pasti dia akan merindui wajah dan suara yang sering memberinya semangat.

Datin Hajar kembali memikirkan apa yang terjadi beberapa bulan kebelakangan ini. Kemalangan itu telah banyak menyedarkan mereka sekeluarga. Betapa dia dan keluarganya sedar apa yang mereka ada selama ini hanyalah pinjaman semata. Bila-bila masa boleh ditarik kembali. Hidup ini bagaikan roda. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya kita di bawah.

Kemalangan yang menimpa telah menyedarkannya bahawa keegoan akan membawa padah. Jiran sebelah menyebelah seakan tidak peduli apa yang terjadi pada keluarganya. Teman-teman kala senang sedikit pun tidak menghulurkan bantuan. Kakak sulungnya, Puan Hartimah pula hanya sibuk tentang harta peninggalan. Langsung tidak memahami keadaan duka hatinya. Sebaliknya menantu yang dahulunya tidak diakui sebagai menantu pula yang banyak berkorban menolongnya. Iman yang bersengkang mata menemaninya dan Arrisya. Iman juga yang menguruskan syarikat, rumah dan mengurus segala macam keperluannya. Iman memang baik.

"Ya Allah. Ampunkan dosaku… ya Allah. Aku bersyukur kerana Kau menganugerahkan dia sebahagian daripada keluargaku. Bukakanlah hati anakku untuk menerimanya." Datin Hajar amat berharap agar Danish membuka mata dan sedar betapa baik jodohnya itu. Betapa mulianya hati Iman.

Datin Hajar tekad, walaupun Danish tidak menerima Iman dan melepaskan wanita itu dia tidak akan sesekali membenarkan Iman pergi jauh dari keluarganya. Iman tetap akan menjadi ahli keluarganya.



IMAN tidak bisa melelapkan mata di dalam penerbangan. Iman cuba memejam mata tetapi dia masih tidak mampu untuk tidur. Setitik air mata jatuh ke pipi. Sedih hatinya. Sakit menanggung beban seorang diri. Danish.... entah di mana? Sampai hati Danish membiarkan keluarganya begitu. Sampai hati betul Danish membiarkan dia menguruskan segalanya keseorangan. Tiga bulan dia menanti Danish kembali. Sehingga seminggu lepas, Iman masih percaya yang Danish akan kembali.

Iman berasa bertanggungjawab kepada keluarga mentuanya. Dia merasakan dirinya penyebab Danish menjauhkan diri. Mungkin sebab itu Danish tidak pulang. Danish tidak mahu berjumpa dengannya sehingga suaminya itu tekad tidak pulang ke Malaysia lagi. Langsung tidak mahu pulang walaupun di saat peristiwa sadis terjadi di dalam keluarga ini. Ah... tiba-tiba perasaan bersalah mencengkam jiwanya lagi.

Iman menoleh Arrisya di sebelahnya. Kelihatan Arrisya sedang nyenyak. Harap malam ini tidur kakaknya itu tidak terganggu lagi. Biarlah kakaknya bangun saat kapal terbang ini sudah mendarat nanti. Setelah tiga bulan di Malaysia dan bapa mentuanya sudah pulih akhirnya Iman memutuskan untuk pulang ke sini bagi menyambung pelajarannya yang tertinggal. Syarikat sudah stabil. Semuanya atas bantuan kawan Uncle Fuad yang sudi membantunya dari belakang. Dia ingin berjumpa dengan insan berhati mulia itu tetapi kata Uncle Fuad, kawannya itu ikhlas. Langsung tidak mahu bertemu dengannya. Namanya pun Iman tidak tahu. Hanya gelaran hamba Allah sahaja sebagai pengenalan.

Iman sengaja membawa Arrisya dengan harapan wanita itu bisa memulakan hidup baru di sana nanti. Kalau tidak memulakan hidup baru pun dengan berjauhan dari bumi Malaysia dapat mengubati hati Arrisya yang remuk. Semoga Arrisya memperoleh semangat baru untuk meneruskan hidup bersama Jehan. Kasihan anak buahnya itu. Telah merasai kehilangan ayah pada usia yang masih kecil. Belum pun sempat Jehan hendak bermanja dengan si ayah, dia telah kehilangan tempat bermanja.

Kehadiran Arrisya bersamanya di Liverpool nanti perlu dimaklumkan pada Danish. Sekurang-kurangnya Danish tahu dan mungkin lelaki itu akan lembut hati menjenguk Arrisya di rumahnya nanti. Siapa tahu. Jadi sebelum dia pulang ke Liverpool, Iman akan ke rumah Danish dahulu. Bersemuka dengan Danish.

Tatkala kini hatinya bergelodak dan tidak sabar untuk bertanya kenapa lelaki itu tidak pulang serta menyampaikan kerinduan keluarga kepada Danish.

0 comments:

Post a Comment