Jodoh Atau Cinta

Karya Dari Iman Nizrina

APA KATA HEROIN?


" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I masih ada kat sini?" sindir Iman.

APA KATA HERO?

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.

Jodoh Atau Cinta - Bab 2

Bab 2

IMAN leka dengan bayi yang baru lahir itu. Alhamdulillah, masih ada rezeki untuknya bersama dengan ahli keluarga baru ini. Jehan Danial nama diberi. Comel. Mata dan hidungnya lebih mewarisi wajah si ibu, namun yang lain semuanya menyerupai wajah si ayah.

Arrisya bersandar lemah di bahu Johan yang duduk di tepinya atas katil dalam wad kelas pertama itu. Penat dan segala sakitnya berganti bahagia melihat wajah si kecil. Tanda cinta hatinya. Penyambung zuriat dia dan Johan.

"Comelnya dia Kak Risya." Iman sangat teruja dengan kelahiran itu. Arrisya yang bersandar lemah di bahu si suaminya tersenyum mendengar. Kenal benar dengan sikap Iman yang gemarkan kanak-kanak itu.

"Danish mana?" tanya Arrisya. Dia baru perasan ketiadaan adiknya. Dia memang terhutang budi pada adiknya dan Iman. Tak sangka kedua-dua mempelai itu sanggup meninggalkan majlis mereka demi untuk bersamanya di sini.

Iman terus memandang ke arah Arrisya. Tidak tahu untuk menjawab apa. Tadi Danish meminta diri untuk membeli makanan, tetapi sampai sekarang Danish tidak menampakkan lagi wajahnya. Beli makanan ke buat makanan? gerutunya di dalam hati.

"Iman! Danish mana?" Sekali lagi Arrisya bertanya.

Kali ini Iman terjerat. Takkan isteri yang baru kahwin kurang dari tiga jam, nak menjawab tak tahu ke mana suaminya menghilang. Kantoilah!

Namun belum sempat membuka mulut, kelihatan pintu wad kelas pertama itu ditolak dari luar. Tersembul wajah Danish yang mencuka.

Danish yang masuk ke wad itu hairan apabila tiga pasang mata memandang tepat ke arahnya.

"Kenapa?" Terpancul soalan itu dari mulut Danish yang jelas kehairanan. Pertanyaan itu segera mengalihkan pandangan mata setiap insan yang merenungnya tadi.

"Hm... tak ada apa. Danish dari mana tadi?" Johan bertanya menyelamatkan keadaan. Dia tahu Danish kehairanan. Dia tak mahu Danish berprasangka pada mereka. Walau selama ini hubungannya dengan Danish tidak mesra, namun tidak juga dingin. Jadi hubungan itu perlu pelihara agar menjadi bertambah baik.

"Dari kantin. Lapar. Ini ke anak buah baru Danish? Siapa nama dia?" Danish segera bertanya. Matanya tertarik pada si kecil di dalam dukungan Iman. Sungguh kecil dan comel. Lagipun dia tak mahu disoal siasat kenapa lama sangat dia di kantin tadi? Sedangkan sebenarnya tadi, dia ke taman hospital bagi menenangkan fikiran. Serabut otaknya memikirkan soal hubungan Iman dengan doktor muda itu tadi.

"Hmmm... Jehan Danial. Jehan Danial bin Mohd Johan." Arrisya menjawab lemah. Namun wajahnya terpancar cahaya kepuasan dan kegembiraan. Rasa syukur yang tidak mampu untuk dizahirkan dengan kata-kata.

Danish menghampiri Iman. Dia berdiri di sisi isterinya itu. Ingin melihat lebih dekat wajah anak kecil yang pasti akan menceriakan suasana keluarganya. Comel sangat. Tidak puas melihat sebegitu. Danish beralih ke belakang Iman sambil menunduk sedikit untuk melihat anak kecil itu. Tanpa sedar, wajahnya hampir mengenai wajah Iman. Malah pipi mereka hampir bersentuhan. Mungkin kerana teruja, Danish meletakkan tangan kanannya bergantungan di atas bahu kiri Iman sambil dagunya diletakkan di atas bahu kanan Iman. Sangat mesra pada sesiapa yang memandang.

Jantung Iman seakan ingin berhenti daripada berdegup. Sedangkan ketika merasakan pipi Danish hanya seinci dari pipinya pun, Iman rasa nafasnya sudah singkat, inikan pula berada dalam kedudukan sekarang.

Iman ingin Danish cepat-cepat berlalu. Kenapa pulalah dengan lelaki ini? Kalau hendak berlakon sekalipun, bukan di sini tempatnya. Di depan kakak ipar dan birasnya? Hish... rimas Iman dibuatnya.
Arrisya dan Johan memandang kedua-duanya dengan senyuman. Adat pengantin baru memang begitu. Joham mencapai perakam di atas kabinet kecil di tepi katil isterinya lalu merakam gelagat pasangan pengantin baru itu.



IMAN melangkah masuk ke dalam biliknya. Wajahnya masih ceria dengan senyuman bahagia. Bukan gembira kerana pernikahannya yang baru berusia beberapa jam. Bukan juga kerana seri pengantin, tetapi semuanya kerana kehadiran sekecil yang comel itu. Saat ini Iman sendiri terlupa yang dia kini sudah menjadi milik orang. Betapa sayang rasanya untuk melepaskan Jehan pergi daripada dukungannya tadi. Ahhh... dia sudah merindui si kecil itu.

"Hai, senyum macam kerang busuk ni kenapa?"

Suara yang tidak berapa hendak sedap itu mengejutkan Iman. Dia berpaling. Terkejut tatkala melihat Danish selamba berbaring di atas katilnya.

"Macam mana awak boleh ada kat sini?" Iman bertanya bagi menutup rasa berdebarnya. Cuak juga dia. Ini kali pertama dia sebilik dengan seorang lelaki. Ini juga kali pertama lelaki masuk ke biliknya. Atuknya sendiri tak pernah masuk ke biliknya. Danish ni memandai saja nak masuk ke biliknya.

"Kenapa pula? Akukan suami kau," jawabnya selamba.

Iman kaget. Sungguh dia sudah terlupa hal itu. Bagaimanalah dia boleh terlupa hari yang penuh ‘bahagia’ ini? Bukankah hari ini yang perlu dia ingat untuk seumur hidup dia. Hari yang dia rasa terhina sangat sehingga tak mampu untuk diraikan.

"Hm... saya terlupa... awak keluarlah dulu. Saya nak mandi kejap," Iman berkata lembut. Dia malas hendak bertekak. Malas hendak ambil pusing sangat. Sambil itu dia mengambil tuala dan baju dari dalam almari.

"Awak dengar tak?" Iman naik bengang dengan sikap selamba Danish. Sedikit pun lelaki itu tidak berganjak dari katil itu.

"Kenapa pula kena keluar? Suka hati akulah nak duduk lama mana pun dalam bilik ni. Kau tak payah takutlah. Aku tak teringin pun nak tengok kau," kata Danish celopar.
Panas hati Iman yang mendengarnya. Dia terus masuk ke kamar mandi. Kalau dilayan nanti, dia juga yang sakit jiwa.

Danish tersenyum senang kerana dapat mengenakan Iman.



DANISH beralih posisi. Dia mengiring ke kanan kali ini. Matanya tertangkap bagasi besar milik Iman yang terisi penuh dengan pakaian. Mungkin itu bagasi untuk Iman bawa ke Liverpool. Dari celah-celahan pakaian itu, Danish ternampak sebuah buku berkulit tebal. Entah kenapa hati Danish tercuit untuk mengambil buku itu.

Dengan malas, Danish bangun merapati bagasi biru itu. Buku berkulit tebal tersebut ditarik keluar. Selamba dia membuka helaian depan buku itu. Perkataan pertama yang dia jumpa ialah, ‘kehidupanku’. Buku apa itu? Mungkinkah diari Iman? Seronok ni. Makin teruja Danish dibuatnya. Danish semakin berani membuka helaian demi helaian buku itu.

Danish membaca catatan hidup gadis yang bergelar isterinya kini. Ralit dia membaca dairi itu. Satu per satu satu tersingkap segala cerita dan peristiwa di dalam hidup gadis bernama Iman Umairah itu. Ada kisah lucu dan ada juga kisah yang mengusik hatinya.

Saat mendengar pintu bilik mandi dibuka, Danish segera menyembunyikan diari itu. Dia berpaling.

Kelihatan Iman keluar dengan hanya memakai T-shirt dan tuala paras betis. Rambutnya yang basah dengan tuala kecil. Wajahnya nampak segar. Sesungguhnya Danish tergoda. Berdegup laju jantungnya. Naluri lelakinya terusik. Tergoda seketika sehingga matanya sendiri tidak mampu dialihkan.

Tak boleh jadi ni! Awal-awal lagi pertahanannya sudah goyah. Tadi bukan main sombong, kata tak berselera tengok Iman. Ini baru tengok Iman macam tu, dia sudah hilang arah. Bimbang nafsunya tidak dapat dikawal, Danish melangkah keluar. Diari tadi sudah awal-awal lagi disembunyikan di dalam baju. Mulai hari ini, diari tersebut akan bertukar tuan. Dia akan menjadi tuannya. Nasiblah kalau Iman!

0 comments:

Post a Comment